Skip to main content

Bisnes

PROTON buka 10 cawangan dalam 10 hari, wujud 210 peluang kerja

CAWANGAN PROTON_TB
Upacara memotong reben menandakan pembukaan sebuah lagi cawangan PROTON, menjadikan rangkaiannya kini merangkumi 195 cawangan bagi kenderaan enjin pembakaran dalam (ICE) dan 58 cawangan Proton e.MAS. - Gambar PROTON
Advertisement

SUBANG JAYA: PROTON membuka 10 cawangan baharu di lima wilayah dalam tempoh 10 hari, melibatkan pelaburan pengedar berjumlah RM15.9 juta dan mewujudkan 210 peluang pekerjaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, setiap cawangan baharu perlu menjadi penghubung antara syarikat dan pelanggan bukan sahaja ketika pembelian, malah sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

“Kemudahan kepada pelanggan bukan sekadar bergantung kepada lokasi yang dekat, tetapi juga kepada kualiti perkhidmatan yang diterima.
 
“Matlamat kami bukan hanya menambah bilangan cawangan, sebaliknya memastikan setiap cawangan mampu memenuhi keperluan pelanggan di kawasan masing-masing serta menawarkan pengalaman yang profesional dan boleh dipercayai,” kataya.

Pembukaan itu melibatkan empat cawangan PROTON dan enam cawangan Proton e.MAS yang merangkumi wilayah Tengah, Utara, Selatan, Pantai Timur dan Malaysia Timur.

Sebanyak 210 peluang pekerjaan yang diwujudkan merangkumi bidang jualan, perkhidmatan selepas jualan, teknikal dan khidmat pelanggan.

Cawangan berkenaan menampilkan pelbagai format, termasuk pusat jualan dan pelanggan, bilik pameran di pusat beli-belah, pusat 3S dan 4S, pusat jenama di kawasan bandar serta pusat mini 3S.

Pendekatan itu membolehkan setiap premis disesuaikan dengan keperluan setempat, selain memperluas akses pelanggan kepada urusan pembelian, penyelenggaraan, alat ganti dan sokongan teknikal.
 

Image
CAWANGAN PROTON_INSERT
Setiap pembukaan bilik pameran turut menyaksikan penyerahan kenderaan, antaranya Proton X50, kepada pelanggan pertama cawangan berkenaan. - Gambar PROTON

Abdul Rashid berkata, pembukaan 10 cawangan dalam tempoh singkat itu mencerminkan kerjasama erat antara PROTON, Proton e.MAS dan rakan pengedarnya.

“Pelbagai format cawangan ini membolehkan kami meningkatkan akses pelanggan di kawasan bandar, di samping memperkukuh perkhidmatan jualan dan selepas jualan di kawasan serantau,” tambahnya.

Rangkaian yang diperluas itu turut menyediakan sokongan pemilikan bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan elektrik (EV).

“Tidak kira sama ada pelanggan memilih model enjin pembakaran dalaman, hibrid plug-in atau kenderaan elektrik, mereka boleh yakin bahawa PROTON mempunyai rangkaian, kepakaran dan kemudahan untuk menyokong mereka sepanjang tempoh pemilikan,” jelasnya.

Sehingga Julai 2026, PROTON mempunyai 195 cawangan jualan di seluruh negara, termasuk 178 pusat 3S dan 4S bersepadu.

Proton e.MAS pula disokong 58 bilik pameran, 45 pusat servis serta 10 pusat baik pulih badan dan cat.

Image
CAWANGAN PROTON_INSERT
Proton e.MAS 7 PHEV merupakan model kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) terlaris di Malaysia, sekali gus membantu PRO-NET menerajui segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) negara. - Gambar PROTON

Menurut syarikat itu, gabungan kedua-dua rangkaian berkenaan menjadikan PROTON pengeluar automotif dengan rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan terbesar di Malaysia.

Selain memperluas rangkaian, PROTON turut meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi pengenalan identiti korporat baharu secara berperingkat sejak separuh kedua 2025 bagi mewujudkan suasana bilik pameran yang lebih moden, selesa dan mesra pelanggan.

Keupayaan selepas jualan pula diperkukuh menerusi pendekatan Faster & Better yang merangkumi FS90 Fast Service, penyerahan kenderaan dalam tempoh sehari serta sasaran tempoh kerja dalam proses tidak melebihi tiga hari.

Bagi pelanggan Proton e.MAS, ekosistem berkenaan dilengkapi kemudahan khusus untuk jualan, penyelenggaraan, pembaikan badan dan cat serta sokongan teknikal bagi model EV dan PHEV.

Sepuluh cawangan baharu itu terletak di Adda Heights, Johor; Pavilion Bukit Jalil; Temerloh, Pahang; Kuala Nerus, Terengganu; Batu Pahat, Johor; Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur; Kulim, Kedah; Kota Damansara, Selangor; Taiping, Perak; dan Batu Kawa, Sarawak.

PROTON berkata, pelaburan rakan pengedar dalam kemudahan, teknologi, tenaga kerja dan pembangunan kemahiran penting bagi memastikan pelanggan menerima pengalaman jualan serta selepas jualan yang konsisten tanpa mengira lokasi.

Image
CAWANGAN PROTON_INSERT
Cawangan Indah Sari di Kuala Nerus merupakan antara bilik pameran terawal di Terengganu yang menampilkan identiti korporat (CI) terbaharu Proton Edar. - Gambar PROTON

Must Watch Video

Advertisement