Skip to main content

Bisnes

Pulau Pinang bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM1.074 bilion, defisit terendah RM5.62 juta

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) bersama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zairil Mat Ali (dua, kiri) menunjukkan dokumen Belanjawan 2027 sebelum membentangkan laporan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di George Town, hari ini. -- fotoBERNAMA
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) bersama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zairil Mat Ali (dua, kiri) menunjukkan dokumen Belanjawan 2027 sebelum membentangkan laporan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di George Town, hari ini. -- fotoBERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pulau Pinang membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.074 bilion dengan perbelanjaan mengurus RM1.042 bilion dan pembangunan RM280.17 juta.
  • Belanjawan 2027 mencatatkan anggaran defisit RM5.62 juta, terendah dalam sejarah negeri berbanding unjuran defisit RM19.92 juta pada 2026.
  • Ekonomi Pulau Pinang mencatat pertumbuhan 7.3 peratus pada 2025, mengatasi kadar nasional, dengan kutipan hasil negeri meningkat kepada RM1.26 bilion.
Advertisement

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.074 bilion yang meliputi RM1.042 bilion sebagai perbelanjaan mengurus dan RM280.17 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perbelanjaan mengurus itu merangkumi RM1.042 bilion bagi perbelanjaan bekalan dan RM31.92 juta bagi perbelanjaan tanggungan, yang menunjukkan penurunan sebanyak RM13.49 juta atau 1.24 peratus berbanding tahun ini.

Beliau berkata anggaran hasil negeri bagi 2027 pula berjumlah RM1.069 bilion, sekali gus menyaksikan belanjawan itu mencatatkan anggaran defisit RM5.62 juta, terendah dalam sejarah belanjawan negeri berbanding unjuran defisit RM19.92 juta pada 2026.

Advertisement

“Komponen perbelanjaan mengurus terdiri daripada emolumen sebanyak RM231.80 juta atau 21.58 peratus; perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM219 juta (20.38 peratus); aset sebanyak RM4.32 juta (0.4 peratus); pemberian dan kenaan bayaran tetap RM607.96 juta (56.58 peratus) dan perbelanjaan lain RM11.38 juta (1.06 peratus).

“Peningkatan emolumen RM5.07 juta atau 2.24 peratus adalah disebabkan oleh kenaikan gaji tahunan (KGT) penjawat awam manakala peningkatan RM17.47 juta bagi perkhidmatan dan bekalan 2027 disebabkan oleh peningkatan Dasar Gaji Minimum kepada RM2,000 yang berkuat kuasa mulai Jun 2027,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Advertisement

Chow berkata Belanjawan bertemakan ‘Merakyatkan Visi, Menempa Legasi’ itu berteraskan lima komponen utama iaitu memacu ekonomi bernilai tinggi; memperkukuh infrastruktur dan daya tahan negeri; membangunkan bakat dan potensi generasi; menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat dan memperkukuh tadbir urus dan menunaikan amanah. 

Beliau berkata sebanyak 514 projek disenaraikan untuk pelaksanaan tahun depan, merangkumi infrastruktur awam, kemudahan masyarakat, pembangunan sukan dan projek strategik ekonomi.

Menurutnya, keutamaan adalah projek yang memperkukuh jaringan pengangkutan dan kesalinghubungan negeri, termasuk pengambilan tanah untuk pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Airport Link Road dan laluan ke Pulau Silikon, di samping pembangunan Gurney Bay Fasa 2 serta projek berkaitan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Beliau berkata ekonomi Pulau Pinang terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan pertumbuhan 7.3 peratus pada 2025 dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM130.3 bilion berbanding RM121.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Chow berkata pertumbuhan itu mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi nasional sebanyak 5.2 peratus, dengan sektor pembuatan menyumbang 47.3 peratus kepada KDNK negeri, manakala sektor perkhidmatan menyumbang 46.7 peratus.

Pulau Pinang turut merekodkan 177 projek pembuatan yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, melibatkan nilai pelaburan RM17.32 bilion dan berpotensi mewujudkan 19,337 peluang pekerjaan.

Menurutnya, kutipan hasil negeri meningkat kepada RM1.26 bilion pada 2025 berbanding RM810.46 juta pada 2024, iaitu peningkatan RM449.52 juta atau 55.46 peratus sementara prestasi Belanjawan 2025 turut mencatatkan lebihan RM366.93 juta berbanding defisit RM174.09 juta pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement