Skip to main content

Malaysia

Muara Arts hidupkan semula Medan Pasar dengan seni Asia Tenggara

Menggabungkan lukisan, arca, tekstil, instalasi, video dan karya atas kertas, pameran itu menawarkan pengenalan kepada seni Asia Tenggara yang mudah diakses oleh orang ramai. - Foto Muara Arts
Menggabungkan lukisan, arca, tekstil, instalasi, video dan karya atas kertas, pameran itu menawarkan pengenalan kepada seni Asia Tenggara yang mudah diakses oleh orang ramai. - Foto Muara Arts

Advertisement

Ringkasan AI

  • Muara Arts akan dibuka di Medan Pasar pada 1 November, menandakan fasa baharu kawasan bersejarah itu sebagai destinasi seni dan kebudayaan.
  • Pameran sulung bertajuk A–Z of Southeast Asian Art: A Critical Dictionary menampilkan lebih 40 pengkarya serantau dan berlangsung hingga 4 April 2027.
  • Chris Lee dilantik sebagai CEO Muara Arts dan Medan Pasar Realty, bertanggungjawab memacu pembangunan strategik dan kelestarian organisasi bermula 16 Disember 2026.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Medan Pasar, kawasan bersejarah yang menjadi tempat lahirnya Kuala Lumpur, bakal memasuki fasa baharu sebagai destinasi seni dan kebudayaan menerusi pembukaan Muara Arts kepada orang ramai pada Ahad ini (1 November).

Institusi seni bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada seni moden dan kontemporari Malaysia serta Asia Tenggara itu dalam satu kenyataan memaklumkan akan mengadakan pameran sulung bertajuk A–Z of Southeast Asian Art: A Critical Dictionary, yang menghimpunkan karya lebih 40 pengkarya dari seluruh rantau ini.

Berlangsung dari 1 November 2026 hingga 4 April 2027, pameran itu mengajak pengunjung meneroka kepelbagaian sejarah, budaya dan perspektif yang membentuk Asia Tenggara menerusi karya seni daripada pengkarya serantau.

Advertisement

Dikurasi Lydia Yee dan Zhen Feng Ang, pameran berkenaan mendapat inspirasi daripada projek berterusan pengkarya seni terkenal Singapura, Ho Tzu Nyen, berjudul The Critical Dictionary of Southeast Asia (2017–ongoing).

Disusun mengikut abjad dari A hingga Z, pameran itu meneroka sejarah, identiti, budaya dan politik rantau ini yang saling berkait tetapi mempunyai kepelbagaian tersendiri, selain mencabar takrifan konvensional mengenai Asia Tenggara dan membuka ruang kepada perspektif baharu.

Advertisement

Antara karya yang diketengahkan termasuk instalasi media campuran Zarina Muhammad di bawah tema A for Animism; instalasi video Martha Atienza berjudul Our Islands, 11°16’58.4 N 123°45’07.0 E di bawah tema A for Archipelago; serta karya Nadiah Bamadhaj dan Marcos Kueh menerusi B for Buffalo.

Pameran itu turut menampilkan karya arca baharu oleh Pio Abad dan Frances Wadsworth Jones di bawah tema C for Corruption, selain karya Paul Pfeiffer berjudul Live Evil (Kuala Lumpur) menerusi Z for Zoomorphism.

Menggabungkan lukisan, arca, tekstil, instalasi, video dan karya atas kertas, pameran itu menawarkan pengenalan kepada seni Asia Tenggara yang mudah diakses oleh orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, Medan Pasar Realty dan Muara Arts turut mengumumkan pelantikan Chris Lee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kedua-dua organisasi berkenaan.

Lee, yang kini merupakan Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Galeri Nasional Singapura, dijangka memulakan tugas pada 16 Disember 2026.

Beliau akan bertanggungjawab menyelia pembangunan strategik, operasi dan kelestarian jangka panjang kedua-dua organisasi, termasuk usaha berterusan menjadikan Medan Pasar sebagai destinasi seni, kebudayaan dan industri kreatif.

Usaha itu akan berteraskan Galeri Muara Arts serta pembangunan Teater Muara Arts yang bakal dibuka.

Lee mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perniagaan dan seni, termasuk sedekad dalam kepimpinan kanan di Galeri Nasional Singapura.

Sepanjang tempoh itu, beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan khalayak, transformasi digital dan pengukuhan kelestarian komersial institusi berkenaan.

Lee berkata, Medan Pasar mempunyai nilai sentimental buat dirinya kerana membesar di Kuala Lumpur, dengan kawasan itu menyimpan banyak kenangan zaman kanak-kanaknya.

"Ketika membesar di Kuala Lumpur, Medan Pasar merupakan nadi bandar ini bagi saya. Antara kenangan zaman kanak-kanak yang paling bermakna ialah membeli-belah di pasar bersama ibu dan menikmati makan tengah hari pada setiap Jumaat di Sin Seng Nam bersama bapa," kata Lee.

Beliau turut menyifatkan peluang menyertai usaha menghidupkan semula Medan Pasar bersama pengasas Muara Arts dan Medan Pasar Realty, Shanthi Kandiah serta Brahmal Vasudevan, sebagai satu kepulangan yang tidak disangka-sangka.

"Apabila saya bertemu Shanthi dan Brahmal serta mengetahui perjalanan luar biasa mereka dalam usaha menghidupkan semula Medan Pasar, ia seolah-olah satu kepulangan yang tidak disangka-sangka. Peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha bermakna dalam membentuk hala tuju baharu kawasan bersejarah ini, dengan Muara Arts sebagai terasnya, terlalu berharga untuk dilepaskan. Saya berharap dapat membina legasi kebudayaan yang berkekalan buat Kuala Lumpur," kata Lee lagi.

Sementara itu, Shanthi Kandiah dan Brahmal Vasudevan berkata, pembukaan Muara Arts merupakan pencapaian penting dalam merealisasikan visi mereka untuk menghidupkan semula Medan Pasar sebagai kawasan yang menghimpunkan seni, kebudayaan, warisan dan komuniti.

"Pembukaan Muara Arts merupakan pencapaian penting dalam merealisasikan visi kami untuk memberikan nafas baharu kepada Medan Pasar, sekali gus mengubah kawasan bersejarah ini menjadi tempat yang menghimpunkan seni, budaya, warisan dan komuniti," kata mereka.

Mereka turut menyambut baik pelantikan Lee, dengan menyifatkan pengalamannya dalam memperluas khalayak, menjadikan seni lebih mudah diakses serta membangunkan institusi kebudayaan yang mampan sebagai aset penting dalam usaha meletakkan Muara Arts sebagai platform seni Malaysia dan Asia Tenggara.

Mereka berharap usaha itu dapat membantu membentuk Medan Pasar sebagai destinasi kebudayaan yang rancak di Kuala Lumpur.

Must Watch Video

Advertisement