Pulau Pinang hargai peruntukan projek strategik di bawah Belanjawan 2026

Chow berkata pihaknya berharap perincian lanjut berkaitan status dan jadual pelaksanaan projek dapat dimuktamadkan segera bagi membolehkan kerajaan negeri menyelaras persediaan sewajarnya. - Gambar fail/Facebook Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN: Hampir separuh daripada projek keutamaan yang dikemukakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sesi libat urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 18 Mac lalu, telah dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas komitmen terhadap pelaksanaan projek dan inisiatif yang memberi faedah langsung kepada rakyat Pulau Pinang.
Menurutnya antara projek strategik RMK13 disenaraikan dalam Belanjawan 2026 termasuk pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua yang dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik yang semakin meruncing di kawasan berkenaan.
''Selain itu, turut diumumkan ialah pembinaan Klinik Kesihatan Kubang Semang, pembangunan Kompleks Kesihatan Bersepadu di Seberang Perai Tengah (SPT), naik taraf lokasi pengambilan air mentah di Titi Kerawang dan Teluk Awak serta pemasangan paip air mentah ke Empangan Teluk Bahang."Naik taraf Kompleks Sukan Bertam di Kepala Batas dan pembinaan laluan bawah tanah menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma termasuk penambahbaikan beberapa persimpangan utama di kawasan berkenaan turut dimasukkan," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Chow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata sebagai negeri pelancongan utama, Pulau Pinang juga mengalu-alukan pengumuman peruntukan RM2.3 bilion melalui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memperkukuh pengurusan lapangan terbang, yang turut memberi manfaat kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Beliau berkata Projek Tebatan Banjir Nasional yang memanfaatkan Projek Tebatan Banjir Sungai Nyiur, Seberang Perai Utara (SPU) juga diharap dapat dilaksanakan segera demi kesejahteraan komuniti setempat.
Selain itu, beliau menyambut baik pengumuman bahawa UDA Holdings Berhad akan menerajui pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang dengan pelaburan hampir RM250 juta, selain komitmen RM300 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bagi membangunkan projek rumah warga emas mandiri di tanah Baitulmal di Kepala Batas.
Namun, katanya pihaknya berharap perincian lanjut berkaitan status dan jadual pelaksanaan projek dapat dimuktamadkan segera bagi membolehkan kerajaan negeri menyelaras persediaan sewajarnya.
"Kerajaan negeri juga berharap Perdana Menteri dapat menyempurnakan pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) ke-24 di Seberang Perai seperti dijadualkan pada November ini," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion, merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus, RM81 bilion perbelanjaan pembangunan dan RM30 bilion pelaburan GLIC, berbanding RM452 bilion tahun lepas.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami