Skip to main content

Bisnes

Ringgit antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, dipacu aliran masuk pelaburan - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, June 9 -- Finance Minister II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan with President and Group Chief Executive Officer of Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli on a Balancing Fiscal Focus with External Risks during the Invest Malaysia Kuala Lumpur Conference 2026 here today.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Ringgit kekal menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini, dipacu aliran masuk pelaburan yang besar serta kekukuhan asas ekonomi Malaysia walaupun menghadapi ketidaktentuan global yang meningkat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ringgit kekal menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini, dipacu aliran masuk pelaburan yang besar serta kekukuhan asas ekonomi Malaysia walaupun menghadapi ketidaktentuan global yang meningkat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata mata wang tempatan terus mencatatkan kenaikan yang positif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini bagi 2026 dan turut menunjukkan prestasi memberangsangkan berbanding beberapa mata wang serantau.

“Ringgit masih menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di rantau ini. Setakat ini bagi tahun ini, ringgit kekal mencatatkan peningkatan positif berbanding dolar AS.

“Lebih penting bagi ringgit bukan hanya prestasinya berbanding dolar AS malah pergerakannya berbanding mata wang lain di dunia. Kita jauh lebih baik daripada banyak negara lain di seluruh dunia,” katanya pada sesi bertajuk ‘Mengimbangi Fokus Fiskal dengan Risiko Luaran’ di Invest Malaysia 2026 di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata kekuatan ringgit disokong oleh keyakinan pelabur yang berterusan terhadap ekonomi Malaysia, dicerminkan melalui aktiviti pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang kukuh.

“Malaysia telah mencapai paras tertinggi dari segi pelaburan diluluskan yang masuk. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengeluarkan angka bagi suku pertama semalam, dan kita berada di landasan untuk melaksanakannya.

“Enjin FDI berfungsi dengan sangat baik dalam menarik pelaburan dan menyediakan sokongan kepada ringgit bagi tempoh yang seterusnya,” katanya.

Amir Hamzah berkata pelaburan domestik juga kekal kukuh, dengan DDI mengatasi sedikit FDI dari segi jumlah pelaburan di negara ini.

“Sebenarnya, DDI adalah lebih besar sedikit berbanding FDI. Jadi, sebenarnya, seperti anda, pelabur dalam negara, juga menggandakan pertumbuhan kerana mengenal pasti segmen yang ingin dikembangkan,” katanya.

Beliau berkata pelaburan semakin seiring dengan keutamaan kerajaan dalam sektor pertumbuhan tinggi termasuk semikonduktor, pusat data dan kecerdasan buatan (AI), seterusnya membantu mengukuhkan permintaan terhadap mata wang tempatan.

“Selagi enjin-enjin ini terus bergerak, asas ekonomi masih memberikan sokongan permintaan kepada ringgit,” katanya.

Amir Hamzah berkata walaupun perkembangan luaran masih boleh mewujudkan keadaan turun naik ketara dalam pasaran mata wang, namun tumpuan Malaysia kekal kepada usaha untuk memperkukuh asas ekonomi.

“Adakah akan ada turun naik ketara? Ya, sudah tentu akan ada turun naik namun, yang lebih penting untuk kita menumpukan kepada usaha memastikan asas ekonomi terus berfungsi dalam bentuk yang betul, dan itulah yang sedang kita lakukan pada ketika ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement