KUALA LUMPUR: Kajian mengenai pembangunan loji rawatan air sisa industri berpusat sedang dijalankan bagi menguruskan efluen daripada industri untuk menangani pencemaran air.

Ia antara lain akan mengesyorkan inisiatif untuk memastikan efluen daripada pelbagai sumber di kawasan perindustrian dirawat dan dilepaskan ke dalam sungai daripada satu punca, demikian menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini.

Selain itu, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan disemak semula dengan pindaan bagi kedua-dua akta yang merangkumi isu alam sekitar yang baru muncul dan hukuman lebih berat akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh akhir RMK12.

Dalam mempertingkat jaminan bekalan air, kerajaan akan terus meneroka sumber alternatif daripada abstraksi air bawah tanah, pengumpulan dan penggunaan semula air hujan serta penakungan air pinggir sungai melalui pembinaan infrastruktur dengan kos yang berkesan.

Selain itu, pendekatan Program Air Tidak Berhasil Kebangsaan akan diperluas dan dikaji semula untuk memberikan penyelesaian yang berterusan dan menyeluruh.

Tarif air dan pembetungan juga akan disemak semula secara berkala berdasarkan segmen pasaran.

"Inisiatif ini akan memperkukuh keupayaan kewangan operator perkhidmatan air untuk memastikan pengurusan air yang cekap, saksama dan mampan," menurut KSP RMK12 itu.

Bagi memastikan pengurusan air yang mampan, satu dasar yang menyeluruh mengenai air akan diperkenal selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040.

Dasar yang berpaksikan pendekatan sumber kepada sumber air akan menggabungkan pelbagai konsep termasuk ekonomi kitaran dan ekonomi hijau bagi menggalakkan penggunaan sumber air secara mampan dan cekap.

Selain itu, tadbir urus Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) juga akan diperkukuh bagi menambah baik penyelarasan serta mempercepat dan memantau pelaksanaan pelan IRBM.

-- BERNAMA