ISTANBUL: Utusan Khas Presiden Amerika Syarikat (AS) Jared Kushner dan Steve Witkoff akan berlepas ke Moscow pada Khamis bagi mengadakan rundingan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin susulan rundingan damai tiga pihak diperantarakan AS bersama delegasi Rusia dan Ukraine, lapor Anadolu Ajansi.
“Satu daripada perkembangan positif ialah kami bersetuju untuk melaksanakan pembebasan tawanan terbesar atas dasar kemanusiaan, yang mana kami akan memuktamadkan jumlahnya pada Khamis (12 Nov),” kata Kushner kepada pemberita pada Rabu, mengesahkan kemajuan daripada pertemuan diplomatik itu.
Penasihat Presiden itu menjelaskan bahawa lawatan ke Moscow berkenaan bertujuan meneliti perbincangan di Abu Dhabi, sambil menambah, “kami melihat beberapa ruang dan peluang di sana.”
Kushner berkata objektif utama misi ke Rusia itu termasuk memperluas rangka kerja rundingan, dengan menjelaskan Washington berhasrat mendapatkan penyertaan Eropah bagi mewujudkan format keamanan multilateral yang berkekalan.
Beliau berkata utusan-utusan terbabit kemudiannya akan berlepas ke Dublin untuk memberi taklimat kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan meneroka lebih lanjut idea yang dibincangkan semasa rundingan itu.
Lawatan berkenaan menyusuli rundingan tiga pihak selama dua hari diperantarakan AS di ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi, yang menandakan sesi damai tiga pihak secara langsung pertama diadakan sejak perbincangan di Geneva pada Februari.
-- BERNAMA-ANADOLU