Skip to main content

Malaysia

Industri kraf Sabah manfaatkan 22,038 rakyat dengan peruntukan RM47.2 juta - Hajiji

Hajiji berkata untuk tahun ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntuk menerusi 29 program melibatkan 200 peserta kumpulan sasar. - Foto fail/BERNAMA
Hajiji berkata untuk tahun ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntuk menerusi 29 program melibatkan 200 peserta kumpulan sasar. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Sejumlah 22,038 individu menerima manfaat daripada 1,066 program pembangunan industri kraf oleh Pusat Kraftangan Sabah dengan peruntukan RM47.2 juta sejak 2011.
  • Program melibatkan kerjasama strategik, penandatanganan MoU, serta penglibatan institusi pendidikan bagi memperkasa modal insan dan ekonomi komuniti setempat.
  • KTYS dan UCSF telah melaksanakan 178 program dengan peruntukan RM26.71 juta, memanfaatkan 3,778 peserta sejak 2015 hingga 2025.
Advertisement

KOTA KINABALU: Sebanyak 22,038 individu menerima manfaat daripada 1,066 program pembangunan industri kraf yang dilaksanakan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) dengan peruntukan berjumlah RM47.2 juta sejak 2011 hingga kini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata untuk tahun ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntuk menerusi 29 program melibatkan 200 peserta kumpulan sasar, sekali gus membuktikan industri berkenaan turut membuka peluang ekonomi kepada rakyat negeri ini.

“Sabah kaya dengan khazanah budaya termasuk tenunan, batik, anyaman buluh dan rotan, seni manik serta pelbagai hasil kraf tangan yang perlu diteruskan generasi muda selari perkembangan zaman,” katanya dalam ucapan pada Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah sesi 2026 di sini pada Rabu.

Advertisement

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata usaha memperluas industri kraf tangan telah dilakukan termasuk menyertai peragaan batik dan cetakan digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi kolaborasi strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Fashion Forward Batik Malaysia anjuran Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, Ogos lepas.

Advertisement

Beliau berkata usaha turut diperkukuh melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah melalui PKS dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), diikuti penyerahan Surat Hasrat (LOI) kepada Yayasan Sabah daripada Politeknik Kota Kinabalu, All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn Bhd.  

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata penglibatan institusi pendidikan seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam PKAN memperlihatkan usaha pembangunan modal insan yang merangkumi aspek kebolehpasaran, teknologi, keusahawanan dan keperluan industri semasa.  

“Dalam tempoh 2016 hingga kini, KTYS telah melaksanakan 93 program dengan jumlah peruntukan RM15.01 juta melibatkan 1,936 peserta,” katanya menambah antara program itu ialah Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM) yang menumpukan kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam subjek kritikal Matematik dan Sains.

Program itu melibatkan tiga sekolah dengan 200 pelajar telah menunjukkan peningkatan kadar kelulusan daripada 35 peratus kepada 98 peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan ditingkatkan kepada 300 pelajar melibatkan enam sekolah tahun ini.

Hajiji berkata Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) turut dilaksanakan bagi memperkasakan ekonomi golongan rentan melalui kemahiran pemprosesan makanan hasil laut dengan 43 daripada 89 peserta berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata UCSF melalui PKAN Sabah 2026 turut melaksanakan program Eksplorasi dan Pemerkasaan Teknologi, Kesenian dan Keusahawanan (ExPERTISE) dengan peruntukan RM750,000 untuk 11 program melibatkan 314 golongan sasar terdiri daripada kalangan belia dan komuniti Anak Negeri Sabah.  

Hajiji berkata antara program dilaksanakan tahun ini ialah Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) dengan kerjasama Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC) melibatkan 13 pelajar telah menjalani latihan kerja selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) serta klinik swasta di negeri ini.  

Selain itu, program BRIDGE (Building Resources, Inclusivity, Development and Growth in Communities) berjaya dilaksanakan dengan penganjuran sembilan program berteraskan bidang seni dan kraf, pelancongan dan hospitaliti, kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi serta pertanian.  

Beliau berkata program jangkauan itu melibatkan 292 peserta dari daerah seperti Sipitang, Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu dan Kota Kinabatangan.  

“UCSF telah melaksanakan 85 program dan membelanjakan RM11.7 juta yang memanfaatkan 1,842 peserta sejak 2015 hingga 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement