PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali memberi jaminan anggota perkhidmatan awam akan sentiasa meningkatkan penyampaian perkhidmatan bagi mencapai aspirasi Malaysia MADANI seperti digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12).

Beliau berkata ini kerana penggerak utama pelaksanaan 17 anjakan besar dalam KSP RMK12 yang diumumkan hari ini adalah Perkhidmatan Awam.

"Saya yakin dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan, visi dan misi yang jelas itu dapat menjadi pemangkin kepada kebolehcapaian objektif-objektif yang disasarkan," katanya dalam catatan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau, di sini hari ini.

KSP RMK12 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini merupakan manifestasi Kerajaan Perpaduan dalam memacu pembangunan yang holistik.

KSP RMK12 melibatkan anjakan baharu agenda pembangunan negara selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang disokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Bertema "Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi", KSP RMK12 berteraskan kepada tiga tumpuan utama iaitu menuju negara berpendapatan tinggi, membangun masyarakat sejahtera dan memperkukuh kemampanan dan tata kelola.

-- BERNAMA