Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menubuhkan sebuah Pusat Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) khas hasil kolaborasi suruhanjaya itu dengan Bond and Sukuk Information Exchange (BIX).

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata pusat berkenaan merupakan sebahagian daripada cadangan yang terkandung di dalam Pelan Hala Tuju SRI.

"Penubuhan pusat SRI tersebut mampu meningkatkan ketelusan dan akses kepada maklumat berkenaan bon dan sukuk dalam denominasi ringgit.

"Ia akan memberikan maklumat yang komprehensif dan terkini daripada satu sumber kepada semua peserta pasaran dan juga masyarakat umum," kata Syed Zaid dalam ucapannya sempena Persidangan Maya SRI 2020 di ibu pejabat SC, Bukit Kiara di sini pada Selasa.

Beliau berkata pusat SRI berkenaan dibuka kepada umum bermula Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata SC berhasrat untuk meningkatkan kesedaran mengenai platform pengumpulan dana alternatif seperti pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam ekonomi hijau dan sosial.

"Kami juga membuat tinjauan dalam kalangan peserta pasaran mengenai struktur pelaburan wakaf yang sesuai untuk menyalurkan dana kepada perusahaan impak sosial.

"Memandangkan ia dapat mencapai hasil sosial, kami percaya ia adalah aset yang akan berkembang pesat sekarang," katanya.

Pelan Hala Tuju SRI merupakan perancangan lima tahun untuk memacu pembangunan ekosistem SRI dan meletakkan Malaysia sebagai pusat SRI di rantau ini.

Ia termasuk membina asas penerbit SRI yang kuat, meningkatkan asas pelabur SRI, meluaskan pelbagai instrumen SRI, menanam budaya urus tadbir dalaman yang kuat dan mereka bentuk seni bina maklumat tersebut.