SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor komited memperkasakan peniaga e-dagang di negeri itu agar mampu menjadi sebuah “Negeri Pintar” menjelang 2025 serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Exco Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, pelbagai program dan usaha bermanfaat telah dijayakan melalui agensi di bawah negeri itu bagi menyokong peniaga ke arah pendigitalan.

Katanya, usaha berkenaan dapat dilihat melalui agensinya, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) yang mengajurkan Anugerah Peniaga E-dagang Utama Malaysia (Top ECM) yang memasuki edisi ketujuh tahun ini.

“Edisi ketujuh ini adalah bukti bahawa Sidec berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan usahanya dan akan membuahkan hasil untuk ekonomi negeri, mahupun negara.

“Saya sangat berharap agar anugerah ini diperluas skopnya untuk membolehkan lebih banyak penyertaan daripada kategori yang berbeza.

“Selain daripada anugerah Top ECM, pelbagai inisiatif dijalankan oleh Sidec termasuk program baharu yang sedang berlangsung, iaitu Selangor Fashion Accelerator 2022 yang menyaksikan 16 calon bersaing daripada pelbagai latar belakang fesyen untuk berkongsi idea dan kreativiti mereka dalam peluang yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran (Top ECM) 2022 bersama AFFIN BANK dan platform e-dagang SUBPLACE di sini hari ini.

Turut hadir, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping.

Dalam pada itu, tambah Chang Khim, peniaga e-dagang di negeri itu semakin berkembang pesat pascapandemik COVID-19 dan menyaksikan penglibatan mereka dalam memanfaatkan pelbagai peluang untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Saya juga telah memahami bahawa proses penyenaraian pendek untuk anugerah Top ECM edisi ketujuh ini adalah kompetitif kerana menyaksikan pendaftaran meningkat sebanyak 107 peratus berbanding tahun lepas.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa semakin ramai peniaga mengambil peluang mereka untuk meningkatkan jualan mereka dan kehadiran jenama dalam industri,” katanya lagi.