PETALING JAYA: Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan ASLI 2023 menyaksikan pertemuan pakar dan pemain industri meneroka potensi serta keperluan masa depan untuk memupuk ekosistem kewangan yang lebih inklusif, saksama dan mampan di Malaysia dan rantau ASEAN.

Dengan bertemakan “Masa Depan Kewangan dan Membiaya Matlamat Pembangunan Lestari,” ia dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) yang dimiliki dan ditadbir Yayasan Jeffrey Cheah, dengan kerjasama Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDSN) Asia.

Di samping isu-isu berbangkit sekitar industri perbankan dan kewangan, perbincangan utama persidangan yang disertai lebih 800 perwakilan itu menyentuh tentang bagaimana sektor awam dan swasta dapat berganding bahu untuk membiaya kesemua 17 Matlamat Pembangunan Mampan PBB.

Seperti yang ditekankan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang hadir merasmikan sidang kemuncak tersebut,  kerjasama, inovasi dan komitmen teguh menjadi kunci yang dapat membuka pelbagai potensi di rantau ini.

Beliau memberitahu bahawa kejayaan matlamat pembangunan lestari tidak seharusnya tertumpu kepada produk akhir sahaja, tetapi kecekapan setiap komponen yang terkait dengannya.

“Untuk transisi tenaga berjaya dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) mencapai objektifnya, kita perlu membina ekosistem  yang menyeluruh dengan setiap industri memainkan peranan  dan menyumbang kepada projek-projek hijau.

“Kami (Kementerian Ekonomi) merancang untuk bekerjasama dengan industri perbankan dan kewangan  bagi membangunkan satu lagi set aliran kewangan yang dipanggil kewangan transisi," katanya.

Maklumnya juga, kerajaan telah memperuntukkan RM2 bilion menerusi NETR untuk projek-projek transisi tenaga, dan sebahagian daripada peruntukan itu  yang diharap turut mendapat suntikan daripada industri perbankan dan kewangan akan diguna untuk memulakan inisiatif tersebut tidak lama lagi.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, merangkap Pengerusi ASLI, Tan Sri Sir Jeffrey Cheah berkata dalam ucapan pembukaannya, sebagai pakar dalam perniagaan peruntukan modal, para profesional kewangan dan perbankan mempunyai tanggungjawab untuk membantu memastikan sumber yang cukup disalurkan kepada pelaksanaan agenda kelestarian.

“Mencapai matlamat pembangunan lestari (SDG) memerlukan komitmen semua segmen masyarakat, kita semua bersama dalam usaha ini," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif ASLI Danial Rahman berkongsi hasrat institut seterusnya untuk merapati jurang kepimipinan yang wujud di kalangan anak muda dan pekerja-pekerja dalam Malaysia, sebagai satu cara mengatasi kehilangan pekerjaan akibat  proses automasi.

Perbincangan-perbincangan dalam sidang kemuncak tersebut menggemakan etos Ekonomi Madani dianjur kerajaan terhadap amalan lestari, selaras dengan usahanya membina masa depan di mana pertumbuhan dan kemampanan ekonomi berkembang seiring.

Kolaborasi antara ASLI, UN-SDSN Asia dan Sunway University menggariskan peri pentingnya kerjasama pelbagai sektor dalam memacu kemajuan menuju Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

Pada sidang kemuncak itu, Datuk Muzaffar Hisham, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Kumpulan Maybank, turut berkongsi 3C perbankan – “Capital” (Modal), “Compliance” (Pematuhan) dan “Cost” (Kos).

"Saya percaya bahawa dalam beberapa tahun mendatang, akan ada perjalanan menarik dalam kewangan, sama ada ke arah perbankan digital, penumpuan atau evolusi pemain lain dalam sektor kewangan mahu pun pelengkap kerjasama," katanya.

Selain itu, dalam sesi panel kedua bertajuk ‘Pembiayaan SDG’, Pengarah Urusan, Ketua Hartanah & Hospitaliti dan Pembinaan & Infrastruktur, Sector Solutions Group United Overseas Bank (UOB), Jasper Wong memperlihatkan cabaran kemampanan global seperti populasi 27% peningkatan dan unjuran peningkatan 160% dalam permintaan elektrik.

Beliau kemudiannya berkongsi inisiatif yang digerakkan UOB untuk menangani isu-isu tersebut, dipanggil U-Series UOB merangkumi U-Solar, U-Drive dan U-Energy.

“UOB komited untuk membimbing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah kemampanan, sama ada melalui pelaksanaan solar, penggunaan tenaga secara optimumatau peralihan kepada armada tenaga hijau.

“U-Solar, yang dilancarkan empat tahun lalu, berdiri sebagai platform pembiayaan bersepadu pertama di Asia, memanfaatkan 1,700 pemilik rumah dan menyokong usaha kemampanan 400 syarikat di seluruh UOB Asia Tenggara," katanya.

Sidang Kemuncak Perbankan & Kewangan ASLI 2023 diadakan pada detik penting di pertengahan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan, seperti laporan daripada Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) yang menunjukkan bahawa rantau Asia-Pasifik ketinggalan dalam memenuhi 17 SDG menjelang tarikh akhir 2030.

Selaras dengan dedikasinya kepada pembinaan negara dan menyokong SDG PBB, Yayasan Jeffrey Cheah menyumbang AS$20 juta kepada PBB, serta memainkan peranan penting dalam penubuhan Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development dan ibu pejabat Asia UN-SDSN, yang kedua-duanya ditempatkan di Sunway University.