Projek menaik taraf Mediplex bernilai RM300 juta di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di sini akan membolehkannya menawarkan perkhidmatan penjagaan pesakit yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ramsay Sime Darby Health (RSDH), Bronte Kumm berkata, pusat perubatan itu kini memberi tumpuan meningkatkan kualiti perkhidmatannya.

"Selama 30 tahun, SJMC berkembang bersama komuniti dan berusaha memenuhi pelbagai keperluan pesakit.

"Hospital ini mengambil pendekatan holistik dengan menawarkan penjagaan kesihatan pencegahan, diagnostik dan terapeutik melalui perkhidmatan berasaskan khidmat dan produk yang dipilih secara teliti," tambahnya.

Kumm berkata demikian kepada pemberita ketika pelancaran tiga tingkat pertama Mediplex yang merangkumi Medishoppe, iaitu farmasi runcit milik SJMC.

Keseluruhannya, Mediplex itu terdiri daripada menara tujuh tingkat yang menempatkan pusat perkhidmatan pemulihan, bank darah, makmal serantau dan klinik pesakit luar baharu untuk telinga, hidung dan tekak.

Pelan pembangunan pelbagai peringkat itu dijadualkan siap menjelang 2022-2023.

RSDH ialah usaha sama 50:50 di antara Sime Darby Bhd serta kumpulan penjagaan kesihatan terbesar Australia, Ramsay Health Care Ltd.

Syarikat itu mengendalikan tiga hospital di Malaysia dan tiga lagi di Indonesia.

Perbelanjaan RM300 juta bagi menaik taraf SJMC itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM600 RSDH Care Group untuk pembesaran hospital di Malaysia dan Indonesia serta tambahan 100 katil di RS Premier Jatinegara dan RS Premier Bintaro Medical Centres. -- Bernama