Ringkasan AI
- Ribut kuat melanda pantai timur dan barat Amerika Syarikat menyebabkan lebih 800,000 pengguna terputus bekalan elektrik dan ratusan penerbangan terganggu.
- Lebih 80 juta orang dijangka melakukan perjalanan sempena cuti Thanksgiving, menjadikan tempoh ini antara yang paling sibuk di negara itu.
- Pihak berkuasa menggesa orang ramai berwaspada dan memantau cuaca susulan amaran ribut serta penangguhan acara seperti Macy's Thanksgiving Day Parade.
WASHINGTON: Ribut kuat yang melanda pantai timur dan barat Amerika Syarikat (AS) mengakibatkan gangguan besar terhadap bekalan elektrik dan perjalanan udara ketika jutaan rakyat negara itu menyambut cuti Thanksgiving.
Menurut laporan BBC, lebih 800,000 pengguna terputus bekalan elektrik manakala ratusan penerbangan dibatalkan dan lebih 1,000 lagi mengalami kelewatan susulan cuaca buruk yang melanda beberapa negeri.
Keadaan itu berlaku ketika lebih 80 juta orang dijangka melakukan perjalanan sepanjang hujung minggu percutian berkenaan, yang dianggap antara tempoh perjalanan paling sibuk di AS setiap tahun.
Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy, menyifatkan tempoh Thanksgiving sebagai "Super Bowl bagi perjalanan udara" berikutan jumlah penumpang yang sangat tinggi.
Di pantai timur, satu sistem ribut besar sedang bergerak ke arah utara sepanjang pesisir Atlantik dengan kawasan Virginia dilaporkan mengalami tiupan angin mencecah 110 hingga 130 kilometer sejam.
Di Maryland, pasukan kecemasan menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga penduduk selepas pokok tumbang menghempap kediaman mereka.
Dua mangsa diselamatkan di Daerah Montgomery manakala seorang wanita berjaya dikeluarkan dari rumahnya di Mechanicsville.
Sementara itu, di New York City, perarakan tahunan Macy's Thanksgiving Day Parade terpaksa ditangguhkan sehingga Sabtu berikutan amaran cuaca buruk.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, berkata ribut yang dijangka melanda bandar itu berpotensi membawa angin kencang yang boleh menyebabkan dahan pokok dan talian elektrik tumbang.
Pihak berkuasa cuaca terus menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan memantau perkembangan cuaca, terutama mereka yang merancang untuk melakukan perjalanan sepanjang musim cuti Thanksgiving.