Skip to main content

Bisnes

S&P kekalkan kredit berdaulat ‘A-’: Dasar ekonomi MADANI diiktiraf global – Penganalisis

Mazlan berkata, penarafan itu merupakan satu petunjuk penting bahawa asas ekonomi dan kerangka pengurusan makroekonomi negara terus dilihat mempunyai daya tahan dalam persekitaran global yang masih mencabar. - Gambar hiasan
Mazlan berkata, penarafan itu merupakan satu petunjuk penting bahawa asas ekonomi dan kerangka pengurusan makroekonomi negara terus dilihat mempunyai daya tahan dalam persekitaran global yang masih mencabar. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dasar ekonomi yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat pengiktirafan global berikutan kejayaan Malaysia berjaya mengekalkan penarafan kredit berdaulat ‘A-’ oleh S&P Global Ratings (S&P).

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban berkata, Dr. Mazlan Che Soh berkata, penarafan itu merupakan satu petunjuk penting bahawa asas ekonomi dan kerangka pengurusan makroekonomi negara terus dilihat mempunyai daya tahan dalam persekitaran global yang masih mencabar.

Jelasnya, apa yang menarik ialah penilaian S&P bukan hanya berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi, tetapi turut mengambil kira kepelbagaian struktur ekonomi Malaysia, momentum pertumbuhan, konsolidasi fiskal secara berperingkat, fleksibiliti dasar monetari serta kedudukan luaran negara.

“Ini menunjukkan bahawa kredibiliti sesebuah kerajaan dalam mengurus ekonomi turut dinilai daripada keupayaannya mengekalkan disiplin fiskal dan kesinambungan dasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia berjaya mengekalkan penarafan kredit berdaulat pada tahap ‘A-’ dengan tinjauan stabil oleh S&P, sekali gus membuktikan keyakinan terhadap kekuatan asas ekonomi negara serta pengurusan makroekonomi yang kukuh di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian itu amat signifikan memandangkan ia dicapai ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan aliran perdagangan dan cabaran geopolitik.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, dari perspektif rakyat, kejayaan pada peringkat makro belum mencukupi sekiranya manfaatnya tidak dapat dirasakan pada peringkat isi rumah.

Tegasnya, cabaran seterusnya ialah bagaimana pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur dapat diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan produktiviti dan gaji, peluang perniagaan serta pengurangan tekanan kos sara hidup.

“Sebab itu Belanjawan 2027 menjadi penting. Pada pandangan saya, ukuran kejayaan belanjawan bukan semata-mata berapa banyak peruntukan atau bantuan yang diumumkan, tetapi sejauh mana sumber fiskal dapat digunakan secara lebih bersasar untuk meningkatkan keupayaan ekonomi rakyat.

“Bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, tumpuan boleh diberikan kepada peningkatan pendapatan boleh guna, perlindungan sosial, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan kos penjagaan kesihatan,” katanya.

Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana pula, jelasnya, yang lebih penting ialah akses kepada pembiayaan, pendigitalan, peningkatan produktiviti dan pasaran supaya pertumbuhan ekonomi negara benar-benar menghasilkan pertumbuhan pada peringkat firma.

Ujar Mazlan, dalam konteks ini, penarafan A- tidak harus dilihat sebagai satu pencapaian yang berdiri sendiri atau sebagai jaminan bahawa pendapatan rakyat akan meningkat secara automatik.

“Sebaliknya, ia memberi ruang dan keyakinan kepada kerajaan untuk meneruskan pembaharuan ekonomi dan fiskal dengan lebih tersusun.

“Justeru, cabaran pentadbiran sekarang ialah memastikan terdapat apa yang saya sebut sebagai “transmisi daripada pertumbuhan kepada kesejahteraan” iaitu daripada angka KDNK dan keyakinan pasaran kepada gaji yang lebih baik, pekerjaan berkualiti, perniagaan yang berkembang dan kos kehidupan yang lebih terkawal,” katanya.

Menurut beliau, jika Belanjawan 2027 mampu memperkukuh hubungan antara pertumbuhan, produktiviti dan pendapatan rakyat, maka pencapaian makroekonomi negara akan mempunyai makna yang lebih nyata kepada kehidupan seharian masyarakat.

Must Watch Video

Advertisement