Stok minyak sawit bagi Disember dijangka meningkat 3.0 peratus kepada 2.93 juta tan

Harga minyak sawit mentah (MSM) juga lemah baru-baru ini dengan harga semasa pada RM4,029 satu tan dan niaga hadapan tiga bulan pada RM4,045 satu tan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Stok minyak sawit Malaysia diunjur meningkat 3.0 peratus bulan ke bulan kepada 2.93 juta tan pada Disember 2025, ketika kenaikan sederhana eksport pada 2.0 peratus bulan ke bulan adalah tidak memadai bagi mengimbangi unjuran pengeluaran, kata CIMB Securities Sdn Bhd.
Dalam nota penyelidikannya, CIMB Securities berkata pengeluaran minyak sawit juga diunjurkan susut 11 peratus bulan ke bulan kepada 1.72 juta tan pada Disember 2025.
Harga minyak sawit mentah (MSM) juga lemah baru-baru ini dengan harga semasa pada RM4,029 satu tan dan niaga hadapan tiga bulan pada RM4,045 satu tan.
"Kelemahan itu berkemungkinan disebabkan oleh tindakan susulan yang terhad ke atas mandat B50 Indonesia, kebimbangan berkaitan stok simpanan Malaysia serta ketidakjelasan mengenai semakan dasar biobahan api Amerika Syarikat (AS).
"(Faktor lain adalah) pembeli yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan paras inventori tinggi di negara pengeluar serta kelewatan pelaksanaan Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang turut menjejaskan sentimen," katanya.
Selain itu, CIMB Securities berkata minyak sawit berdepan persaingan sengit daripada minyak boleh makan lain susulan kelemahan permintaan dari China.
Berikutan itu, katanya, peningkatan stok simpanan itu dijangka terus membayangi harga MSM sehingga eksport kembali mengukuh atau atau terdapat kejelasan dasar mengenai penggunaan biodiesel di AS dan Indonesia.
"Penurunan harga baru-baru ini telah menyaksikan diskaun kecil ke atas minyak sawit berbanding minyak alternatif lain seperti minyak soya, biji sesawi dan bunga matahari yang berkemungkinan memberi sokongan terhadap eksport.
"Susulan jangkaan pengeluaran lebih menyederhana bagi tempoh memasuki suku pertama 2026 akibat faktor bermusim, kami percaya harga akan kekal disokong pada paras melebihi RM4,000 satu tan. Kami juga mengekalkan unjuran purata harga MSM pada RM4,200 satu tan bagi 2026," katanya yang turut mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor perladangan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


