KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 110,610 tan atau 3.15 peratus kepada 3.62 juta tan pada Oktober tahun ini daripada 3.51 juta tan pada bulan sebelumnya, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
MPOB memaklumkan, stok minyak sawit mentah (MSM) berkembang 7.46 peratus atau 161,379 tan kepada 2.32 juta tan pada Oktober daripada 2.16 juta tan pada September.
“Stok minyak sawit diproses susut 3.77 peratus atau 50,769 tan kepada 1.29 juta tan daripada 1.34 juta tan pada September,” jelas MPOB dalam laporan prestasi industri minyak sawit Malaysia bagi Oktober 2026.
Dari segi pengeluaran, MPOB menyatakan pengeluaran MSM meningkat 1.74 peratus atau 36,751 tan kepada 2.15 juta tan pada September daripada 2.11 juta tan pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, pengeluaran isirung sawit susut sedikit sebanyak 0.79 peratus bulan ke bulan kepada 504,766 tan daripada 508,392 tan.
Pengeluaran minyak isirung sawit mentah bertambah 10.56 peratus kepada 231,498 tan daripada September manakala pengeluaran dedak isirung sawit naik 7.68 peratus kepada 250,572 tan.
MPOB memberitahu eksport minyak sawit melonjak 55.75 peratus kepada 1.70 juta tan pada Oktober 2026 berbanding bulan sebelumnya.
Eksport minyak isirung sawit turun 1.96 peratus kepada 73,395 tan berbanding bulan sebelumnya manakala eksport dedak isirung sawit merosot 36.89 peratus kepada 248,305 tan.
Sementara itu, eksport oleokimia meningkat 34.26 peratus kepada 322,708 tan berbanding September manakala eksport biodiesel melonjak 84.53 peratus kepada 5,406 tan berbanding bulan sebelumnya.
MPOB melaporkan tiada import MSM pada Oktober.
Import minyak sawit diproses susut 48.87 peratus kepada 26,207 tan daripada 51,252 tan manakala import minyak sawit merosot 54.86 peratus kepada 26,207 tan berbanding bulan sebelumnya.
-- BERNAMA