SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 42 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di sebuah pusat penjagaan dan rawatan pesakit mental di Taman Kempas, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG MER S999 pada 7.02 malam.
"Siasatan di lokasi mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
"Proses bedah siasat telah dijalankan pada 11 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar … kematian mangsa dipercayai akibat kecederaan pada bahagian dada," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hanyan berkata mangsa dilaporkan mempunyai masalah kesihatan mental, iaitu skizofrenia.
"Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun, yang juga sedang mendapatkan rawatan di tempat sama ditahan bagi membantu siasatan.
"Suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan enam rekod berkaitan dadah. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA