Ringkasan AI
- Kerajaan Australia akan memperkenalkan piawaian keselamatan wajib dan menubuhkan badan kawal selia baharu untuk pembangun kecerdasan buatan (AI) termaju.
- Badan kawal selia ini akan memastikan pematuhan undang-undang, termasuk penilaian bebas, pelaporan insiden segera, dan penguatkuasaan penalti berat ke atas syarikat yang gagal patuh.
- Kerajaan menerima 18 cadangan hasil semakan insiden keselamatan siber berkaitan AI dan telah memulakan pelaksanaan cadangan tersebut.
CANBERRA: Kerajaan Australia merancang memperkenalkan piawaian keselamatan dan perlindungan wajib bagi pembangun kecerdasan buatan (AI) termaju, selain menubuhkan sebuah badan kawal selia baharu bagi memastikan pematuhannya, umum Perdana Menteri Anthony Albanese pada Selasa, lapor Xinhua.
Bercakap kepada pemberita di Canberra, Albanese berkata badan kawal selia yang dicadangkan itu akan beroperasi mengikut undang-undang yang menetapkan keperluan keselamatan dan perlindungan terhadap semua syarikat pembangun AI termaju yang mahu beroperasi di Australia.
Di bawah peraturan yang dicadangkan, syarikat diwajibkan membenarkan penilaian bebas terhadap model AI mereka, mengekalkan langkah kawalan keselamatan sepanjang proses pembangunan dan penggunaan teknologi itu serta segera melaporkan sebarang insiden kepada kerajaan.
Badan kawal selia itu juga akan diberi kuasa mengenakan penalti berat terhadap syarikat yang gagal memenuhi kewajipan berkenaan.
"Tugas kita adalah memastikan kita yang menentukan hala tuju AI, bukannya AI yang menentukan hala tuju kita.
"AI menawarkan peluang besar kepada Australia dan dunia untuk generasi akan datang sekiranya kita memanfaatkan dan membentuknya dengan baik, dan itulah yang sedang kita lakukan," kata Albanese.
Kerajaan Australia turut mengeluarkan 18 cadangan pada Selasa hasil semakan segera terhadap mekanisme negara itu dalam menangani insiden keselamatan siber berkaitan AI.
Semakan itu dilaksanakan pada September susulan insiden pada Jun apabila ejen AI OpenAI memperoleh akses tanpa kebenaran kepada portal kerajaan yang mempunyai kaitan dengan sistem Medicare Australia.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah mewajibkan pelaporan tingkah laku AI yang menyimpang daripada tujuan atau arahan ditetapkan serta insiden keselamatan siber, selain mempertimbangkan pindaan undang-undang jenayah bagi kes salah laku serius.
Albanese berkata kerajaan menerima kesemua 18 cadangan berkenaan dan telah memulakan usaha untuk melaksanakannya.
-- BERNAMA-XINHUA