Skip to main content

Bisnes

Syarikat penyelesai Serba Dinamik saman KPMG PLT atas dakwaan kecuaian audit

71649855075_SerbaDinamik.jpg
Plaintif berhujah, sekiranya prosedur audit dilaksanakan mengikut piawaian profesional, salah nyata dalam penyata kewangan kumpulan itu sepatutnya dapat dikesan lebih awal dan bukannya hanya dibangkitkan semasa audit tahun kewangan 2020.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat penyelesai Serba Dinamik Holdings Berhad dan tiga anak syarikatnya memfailkan saman sivil terhadap KPMG PLT dengan menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya RM1.56 bilion atas dakwaan kecuaian dalam menjalankan audit bagi tahun kewangan 2016 hingga 2019.

Menurut penyata tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Ogos, plaintif mendakwa beberapa keputusan kewangan penting dibuat berdasarkan pendapat audit tanpa teguran yang dikeluarkan KPMG sepanjang tempoh berkenaan, lapor The Edge.

Plaintif berhujah, sekiranya prosedur audit dilaksanakan mengikut piawaian profesional, salah nyata dalam penyata kewangan kumpulan itu sepatutnya dapat dikesan lebih awal dan bukannya hanya dibangkitkan semasa audit tahun kewangan 2020.

Menurut tuntutan itu, pergantungan kepada pendapat audit tanpa teguran menyebabkan kumpulan membuat pembayaran yang didakwa tidak sepatutnya berlaku, termasuk dividen berjumlah RM1.795 bilion, kos pembiayaan RM851 juta serta cukai pendapatan RM161.5 juta.

Serba Dinamik pada 2022 diklasifikasi di bawah status Amalan Nota 17 (PN17) sebelum dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia pada Jun 2024 selepas gagal mengemukakan pelan regularisasi.

Must Watch Video

Advertisement