BERLIN: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengadakan lawatan membawa misi pelaburan ke Munich.

Lawatan tersebut akan berlangsung semasa jeda lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman pada Khamis.

“Saya sendiri akan ke Munich untuk pertemuan dengan syarikat BMW dan beberapa syarikat lain.

"Dari segi sektor, yang berminat untuk meningkatkan pelaburan dalam negara kita ialah sektor aeroangkasa (Airbus), tenaga boleh baharu (Siemens) dan elektrik dan elektronik (Infineon),” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia telah menganjurkan beberapa mesyuarat antara pihaknya dan rakan dagang besar yang beribu pejabat di Jerman.

“Dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah, Jerman merupakan rakan perdagangan paling besar dengan Malaysia.

"Jerman merupakan ekonomi ketiga terbesar di dunia. Oleh itu, Malaysia perlu pastikan perdagangan dengan Jerman ini terus ditingkatkan lagi,” jelasnya.

Selain daripada misi meraih lebih banyak pelaburan bermakna kepada Malaysia, Tengku Zafrul berkata, lawatannya itu juga adalah untuk meleraikan sebarang isu berbangkit bagi pihak syarikat pelabur terbabit untuk meluluskan komitmennya kepada Malaysia.

“Memandangkan automotif merupakan salah satu daripada lima sektor utama pelaburan negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023, kita mahu galakkan mereka untuk terus melabur di Malaysia dalam bidang kenderaan elektrik.

“OSRAM sudah umumkan pelaburan mereka di Malaysia yang sudah pun bermula. Kita mahu lihat apa lagi boleh dibantu, memandangkan kita tahu masih ada cabaran-cabaran tertentu di lapangan,” tambahnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pelaburan dua hala Malaysia-Jerman setakat Januari 2024 meningkat sebanyak 14.8 peratus kepada RM5.59 bilion. 

Terdahulu hari ini, Anwar tiba di sini untuk lawatan rasmi beliau ke Jerman.

Pesawat yang membawa beliau selamat mendarat di Lapangan Terbang Brandenburg pada 10.29 malam Ahad waktu tempatan (5.29 pagi Isnin waktu Malaysia).