KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong akan mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab untuk Perdagangan (MRT) APEC Ke-29 dari 25 Mei hingga 26 Mei, 2023, di Detroit, Amerika Syarikat (AS).

Liew akan berkongsi usaha Malaysia dalam melengkapkan permintaan serantau untuk mengukuhkan perdagangan selain memastikan kemampanan dan keterangkuman sosio-ekonomi serta bertukar-tukar pandangan dengan menteri-menteri perdagangan APEC mengenai cara untuk meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan bagi integrasi ekonomi serantau yang lebih baik, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini.

"Sebagai sebahagian daripada penglibatan berterusan APEC dengan sektor swasta, Liew juga akan mengambil bahagian dalam majlis makan tengah hari pihak berkepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan tema 'Connecting SME to the Global Economy'," katanya.

Selain itu, katanya menteri-menteri perdagangan APEC, bersama dengan wakil Majlis Penasihat Perniagaan APEC akan membincangkan cara untuk mengukuhkan penyertaan PKS dalam ekonomi global.

Mesyuarat itu akan menjadi mesyuarat peringkat menteri yang pertama dihoskan oleh AS sebagai tuan rumah APEC 2023 dan wakil perdagangan AS Katherine C. Tai akan mempengerusikan mesyuarat MRT ke-29 yang dijangka dihadiri oleh semua menteri perdagangan APEC.

Sebagai sebahagian daripada tradisi MRT, Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), pemerhati rasmi APEC, Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara akan turut hadir untuk berkongsi pendirian dan pandangan mereka mengenai perkara perdagangan global semasa.

Bagi APEC 2023, AS telah memilih tema "Creating a Resilient and Sustainable Future for All", disokong oleh tiga keutamaan iaitu Saling Berhubung, Inovatif dan Inklusif.

Berpandukan tema dan keutamaan, menteri-menteri perdagangan APEC akan membincangkan isu berkaitan keterangkuman dan kemakmuran ekonomi untuk manfaat rantau ini, termasuk cadangan pembaharuan WTO untuk membina daya tahan dalam menghadapi cabaran global semasa dan masa depan.

"Sejajar dengan Visi Putrajaya 2040, menteri-menteri perdagangan APEC turut dijangka menangani kebimbangan dalam membina daya tahan rantaian bekalan serantau, memerangi perubahan iklim dan menangani ketidaksamaan ekonomi," menurut MITI.

-- BERNAMA