KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan perlu bergerak melangkaui fasa percubaan dan diterjemahkan kepada nilai yang boleh diukur dari segi produktiviti, operasi serta pengalaman pelanggan.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shanti Jusnita Johari berkata, cabaran utama yang dihadapi perusahaan hari ini bukan sekadar memilih teknologi, tetapi menentukan hasil yang mahu dicapai sebelum melabur dalam AI.
Menurutnya, kajian global menunjukkan masih banyak inisiatif AI yang belum mencapai pulangan pelaburan seperti dijangkakan atau dikembangkan secara menyeluruh dalam organisasi.
Justeru, beliau berkata pendekatan terhadap AI perlu beralih daripada sekadar bertanya masalah yang mahu diselesaikan kepada kemajuan yang mahu dicapai.
“Teknologi bukan lagi titik permulaan. Yang lebih penting ialah apakah kemajuan yang mahu dicapai oleh sesebuah organisasi.
“AI bukan hanya tentang memperbaiki sesuatu yang tidak berfungsi hari ini, tetapi juga membuka ruang kepada pertumbuhan, produktiviti, pengalaman pelanggan dan cara operasi yang sebelum ini tidak dapat dilakukan,” katanya dalam temu bual bersama Niaga AWANI.
Shanti berkata, antara bidang yang kini menunjukkan penggunaan AI secara lebih praktikal termasuk operasi industri, kecerdasan bandar, kecerdasan visual dan kecerdasan lokasi.
Dalam sektor kesihatan, penggunaan AI boleh menyokong diagnosis radiologi dengan menganalisis imej perubatan sebagai sokongan kepada pakar dalam proses diagnosis.
Selain itu, TM One turut melaksanakan perkhidmatan pintar di Ipoh serta pengurusan pematuhan menggunakan Vision AI, yang memperlihatkan bagaimana kecerdasan visual boleh diterapkan untuk menyokong operasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap.
Projek tersebut merekodkan pengurangan 51 peratus dalam purata masa perjalanan serta pengurangan pelepasan karbon sebanyak 7,500 kilogram sebulan.
Bagaimanapun, beliau berkata kemampuan untuk mengembangkan penggunaan AI memerlukan tiga asas utama iaitu infrastruktur, bakat dan keupayaan organisasi serta keselamatan dan kepercayaan.
“Infrastruktur AI hari ini bukan lagi sekadar soal kapasiti pengkomputeran. Ia melibatkan rangkaian, awan, seni bina data dan perkhidmatan edge yang perlu bergerak secara bersepadu.
“Apabila organisasi bergerak daripada eksperimen kepada pelaksanaan sebenar, mereka juga perlu berdepan sistem yang terpisah, data di pelbagai lokasi serta persekitaran legasi.
"Sebab itu, daya tahan, kawalan dan keupayaan mengurus keseluruhan ekosistem menjadi semakin penting,” katanya.
Dalam aspek bakat, Shanti berkata keperluannya juga lebih luas daripada sekadar melahirkan lebih ramai jurutera atau pakar AI.
Sebaliknya, pekerja dalam operasi, khidmat pelanggan, pengurusan risiko serta pembuat keputusan perlu memahami bagaimana AI boleh mengubah cara kerja mereka.
“AI tidak boleh sekadar dimasukkan ke dalam cara kerja lama. Organisasi juga perlu bersedia mereka bentuk semula proses, cara membuat keputusan dan bagaimana kerja dilaksanakan.
“Transformasi AI tidak boleh menjadi tanggungjawab pasukan teknologi semata-mata. Ia perlu menjadi keupayaan seluruh organisasi,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata keselamatan siber semakin penting apabila penggunaan AI meningkatkan jumlah data, model, aplikasi dan sambungan dalam sesebuah organisasi.
Justeru, aspek keselamatan tidak boleh dilihat sebagai komponen tambahan selepas proses pendigitalan selesai.
“Keselamatan siber bukan sesuatu yang boleh ditambah kemudian. Dalam ekonomi AI, ia menjadi asas yang memberi keyakinan kepada organisasi untuk terus mendigitalkan operasi mereka,” katanya.
Mengulas mengenai hala tuju TM One, Shanti berkata TM One ingin memainkan peranan sebagai pengatur ekosistem digital dengan menggabungkan rangkaian, awan, keselamatan siber, AI dan perkhidmatan pintar.
Menurutnya, aspirasi menjelang 2030 adalah untuk menjadi penyedia penyelesaian digital berdaulat dengan keupayaan yang berakar di Malaysia, selain memperluas kemampuan itu ke peringkat ASEAN.
“Kedaulatan digital bukan bermaksud bergerak secara bersendirian. Ia mengenai kawalan dan pilihan, dengan menggabungkan teknologi global bersama infrastruktur, operasi dan tadbir urus yang berakar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan Malaysia dalam ekonomi AI tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah sistem AI yang digunakan semata-mata.
Sebaliknya, ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana teknologi itu mampu meningkatkan produktiviti syarikat, daya saing industri, mutu perkhidmatan awam serta daya tahan sistem digital negara.
Bagi TM One, matlamat akhirnya adalah memastikan AI bukan sekadar digunakan secara meluas, tetapi benar-benar menghasilkan nilai yang lebih besar kepada ekonomi dan negara.