KUALA LUMPUR: Pengeluar produk kesihatan Totalife (M) Sdn Bhd menyasarkan jualan syarikat sebanyak RM40 juta pada tahun 2024 selepas berjaya menembusi pasaran Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Danny Chew berkata, dua negeri itu kini menjadi menjadi penyumbang utama apabila mencatatkan permintaan menggalakkan dengan membantu jualan syarikat melebihi RM20 juta sehingga kini.

"Prestasi jualan pada tahun ini banyak dibantuk oleh pasaran di Sabah dan Sarawak selepas syarikat tidak aktif di sana sebelum ini kerana lebih aktif di Semenanjung Malaysia.

"Namun bermula Januari tahun ini, kami mula masuk ke Sabah dan Sarawak dan mendapat permintaan luar biasa hingga membuka gudang dan pejabat di sana,” katanya dalam kenyataan di sini semalam. 

Mengulas lanjut, Chew berkata, Totalife merancang mengembangkan pasaran produk ke Jepun dan Hong Kong selepas berjaya di pasaran Singapura, Taiwan dan Indonesia yang menyumbang kepada 40 peratus daripada jualan eksport.

Tambahnya, dua negara itu dipilih kerana memiliki pasaran terlalu tidak besar yang membolehkan syarikat memberi fokus kepada strategi perniagaan di sana.

“Kebiasaannya, sekiranya syarikat mahu sesuatu produk itu berkembang dengan lebih cepat, jangan memilih pasaran negara-negara besar seperti Amerika Syarikat.

"Sebaliknya, beralih kepada negara kecil seperti Taiwan dan Jepun kerana ia dapat dipromosikan dari mulut ke mulut untuk pasaran naik dengan cepat, seperti Sabah dan Sarawak yang mencatat jualan RM10 juta setahun,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Danny memberitahu, untuk kekal dalam industri kesihatan dan pelangsingan, Totalife melancarkan produk baharu ‘7Days Curve’ yang menawarkan ciri-ciri bioteknologi berbanding produk lain di pasaran.

Beliau berkata, produk sedia ada '7Days' pula diberi penambahbaikan dalam usaha memperkenalkan produk-produk bioteknologi yang eksklusif dan menggalakkan jualan di pasaran.

"Kami sedar permintaan ke atas produk langsing yang mengekalkan penurunan berat badan untuk tempoh lama kini menjadi menjadi pilihan pengguna apatah lagi kesedaran masyarakat terhadap kesihatan yang semakin meningkat.

“Justeru, produk bioteknologi diperkenalkan sebagai produk untuk pelangsingan yang selamat tanpa perlu berlapar. Malah selepas langsing dan berhenti menggunakan produk, pengguna masih boleh mengekalkan bentuk dan berat badan mereka,” katanya.

Buat masa ini, Totalife mempunyai hampir 5,000 pengedar aktif di seluruh negara iaitu pertambahan sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu.