Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membuka lebih peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan lagi aktiviti perniagaan mereka di luar negara jika Malaysia bersetuju menandatangani perjanjian tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) antara bidang yang akan mendapat kelebihan berikutan jumlah eksport yang tinggi dicatatkan iaitu sekitar 35 peratus hingga 36 peratus.

"Jika kita lihat daripada jumlah eksport iaitu sebanyak 35 peratus hingga 36 peratus, adalah daripada produk E&E dan ini disebabkan terdapat banyak syarikat tempatan melabur di negara luar antaranya Amerika Syarikat.

"Sekiranya Malaysia tidak termasuk dalam perjanjian ini, dominasi kita dalam industri ini akan terjejas dan memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab terbitan TV3 berkaitan topik, 'Ekonomi Negara' malam tadi.

Wahid berkata persetujuan penglibatan Malaysia dalam TPPA akan turut mengurangkan kos struktur perniagaan apabila terdapat produk luar yang dibenarkan masuk ke dalam negara.

Beliau turut menyangkal pendapat sesetengah pihak yang mendakwa Malaysia adalah ‘pak turut’ Amerika Syarikat sekiranya bersetuju menandatangani perjanjian tersebut.

"Sebagai negara terawal terlibat dalam perjanjian tersebut, ia membolehkan Malaysia meningkatkan profil negara serta daya tarikannya terhadap pelabur asing.

"Selain itu, antara kelebihan menjadi antara negara terawal dalam TPPA ialah membolehkan kita merundingkan terma yang sesuai dan terbaik untuk negara termasuklah mengambil kira eksklusiviti dan dasar Bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mewakili Malaysia dalam rundingan TPPA yang dirumuskan baru-baru ini, dan bersetuju untuk mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan Bumiputera.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan membuat perbincangan terperinci dalam sidang parlimen sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

Terdapat 12 negara TPPA iaitu lima negara daripada benua Amerika; Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Peru dan Chile, empat negara ASEAN; Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam dan tiga negara lain iaitu Jepun, Australia dan New Zealand.

Dua belas negara ini menyumbang 40 peratus kepada ekonomi dunia.