Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan persetujuan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hari ini mengumumkan pelantikan Tunku Alizakri Alias sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya, berkuat kuasa 20 Ogos ini.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad yang baharu.

Menurut satu kenyataan hari ini, Tunku Alizakri yang ketika ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) di KWSP, mula menyertai kumpulan itu pada 1 Jan 2014, di mana beliau menyelia polisi nasional seperti perlindungan sosial, serta membangunkan produk dan perkhidmatan syarikat.

Tunku Alizakri sebelum ini turut bertanggungjawab memastikan kesemua cadangan pelaburan mengikuti garis panduan dan urus tadbir KWSP.

Dalam kenyataan yang sama, pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman dipetik sebagai berkata mereka sangat berpuas hati dengan pelantikan dalaman ini kerana ia sekali gus mengesahkan pelan peralihan kuasa yang membolehkan Menteri Kewangan memilih calon yang tepat daripada kumpulan itu sendiri.

“Pelantikan ketua pegawai eksekutif baharu ini akan memastikan prestasi KWSP berterusan, di samping memberi keyakinan kepada ahli-ahlinya bawah pentadbiran KWSP akan terus bergerak lancar membantu usaha meningkatkan agenda kesejahteraan sosial negara," katanya lagi.