Ringkasan AI
- Penggunaan AI, robotik dan teknologi digital semakin penting dalam industri kopi dan kafe untuk kawal kos, fahami permintaan dan tingkat daya saing.
- Unifi Business menyediakan sokongan teknologi, perniagaan dan ekosistem digital, termasuk internet berkelajuan tinggi, storan awan dan penyelesaian pemasaran digital.
- Infrastruktur rangkaian yang stabil penting untuk operasi AI dan robotik, terutama bagi perniagaan yang bergantung kepada automasi dan aplikasi berasaskan awan.
ALOR SETAR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi digital semakin penting dalam industri kopi dan kafe bagi membantu pengusaha mengawal kos operasi, memahami perubahan permintaan pengguna serta meningkatkan daya saing perniagaan.
Dalam pasaran yang semakin kompetitif, teknologi bukan sahaja berperanan mempercepat proses kerja, malah membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan analisis data, khususnya dalam pengurusan inventori, strategi pemasaran dan perancangan kewangan.
Naib Presiden Unifi Business, Dr Mohamad Yusman Ammeran berkata, perkembangan pesat teknologi digital termasuk AI dan robotik menawarkan tiga manfaat utama kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Teknologi digital pantas bergerak. Banyak kemajuan yang dicapai. Mereka menggunakan AI dan robotik.
“Perkara yang paling penting ialah mereka menghasilkan tiga nilai yang utama; meningkatkan produktiviti, akses pasaran dan mempercepatkan inovasi,” katanya ketika ditemui di Jelajah Jiwa SME 2026, di sini.
Menurut beliau, Unifi Business memainkan peranan dalam membantu usahawan memanfaatkan perkembangan tersebut menerusi pendekatan yang merangkumi penyediaan teknologi, sokongan perniagaan dan pembangunan ekosistem digital.
“Bagi Unifi Business, kita ada tiga teras sokongan; teknologi, sokongan dan ekosistem.
“Kita bergerak dengan bank, Astro AWANI dan agensi-agensi kerajaan untuk tingkatkan penggunaan AI di Malaysia,” jelasnya.
Antara penyelesaian yang ditawarkan termasuk Unifi Business Fibre bagi menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi, Unifi Cloud Storage untuk penyimpanan dan perkongsian fail perniagaan serta Digital Marketing Solution (DMS) yang membantu usahawan memperluas capaian pelanggan menerusi platform pengiklanan digital.
Penyelesaian berkenaan relevan kepada pengusaha kafe yang semakin bergantung pada sistem pesanan digital, transaksi dalam talian, pengurusan maklumat perniagaan dan pemasaran melalui media sosial.
Selain itu, perkhidmatan Biz 5G Wireless Backup membolehkan sambungan internet beralih secara automatik kepada rangkaian mudah alih apabila sambungan gentian optik terputus, sekali gus membantu mengurangkan gangguan terhadap operasi perniagaan yang bergantung pada internet.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Saigon, Asyraf Kamal berkata, penggunaan AI menjadi semakin penting bagi memastikan pengusaha minuman mampu menyesuaikan strategi perniagaan dengan perubahan pasaran.
“Dalam dunia industri minuman yang sangat kompetitif, kita ambil langkah gunakan teknologi untuk tingkatkan analisis data dan pasaran.
“Teknologi berkaitan AI ini sangat penting untuk pastikan kita kekal relevan dalam dunia yang sangat mencabar,” katanya.
Asyraf turut menjelaskan bahawa AI boleh digunakan untuk membantu pengusaha membuat unjuran kos dengan lebih teratur, termasuk dalam pengiraan kos barangan yang dijual.
Keupayaan meramalkan kos bahan mentah dan keperluan operasi boleh membantu pengusaha merancang pembelian stok, menentukan harga jualan serta menilai margin keuntungan dengan lebih tepat.
Dalam industri kopi yang bergantung pada pelbagai input seperti biji kopi, susu, bahan pembungkusan dan tenaga kerja, analisis data turut berpotensi mengurangkan pembaziran serta meningkatkan kecekapan pengurusan sumber.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Robopreneur, Dr Hanafiah Yussof menegaskan bahawa kemajuan teknologi AI dan robotik perlu disokong infrastruktur digital yang stabil, khususnya apabila digunakan dalam operasi komersial.
“Komponen yang penting dalam robotik dan AI yang kita gunakan secara komersial ialah sambungan internet yang stabil.
“Robot yang ada AI perlu terus disambungkan dengan model tertentu. Kebanyakan model AI tidak boleh disimpan dalam robot, sebaliknya perlu disimpan dalam storan awan,” jelasnya.
Menurut Hanafiah, meskipun sesetengah robot mempunyai keupayaan beroperasi secara luar talian, keupayaan tersebut mempunyai batasan dan tidak semestinya dapat menampung keperluan operasi untuk tempoh panjang tanpa sambungan internet.
Situasi itu memperlihatkan kepentingan infrastruktur rangkaian yang boleh dipercayai, khususnya apabila lebih banyak perniagaan mula menggunakan automasi dan aplikasi AI berasaskan awan dalam operasi harian.
Jelajah Jiwa SME 2026 Kedah yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober bertemakan Ekonomi Kopi dan Budaya Kafe, menghimpunkan pemain industri, penyedia teknologi serta usahawan tempatan bagi meneroka peluang pertumbuhan perniagaan.
Program anjuran Astro AWANI dengan Unifi Business sebagai penaja utama itu turut menjadi platform memperkenalkan penyelesaian digital yang dapat membantu PMKS meningkatkan kecekapan operasi dan memperluas pasaran dalam ekonomi yang semakin dipacu teknologi.