PASIR MAS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menyerahkan empat daripada 12 pos kawalan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dibangunkan menerusi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) Fasa 1 sejak 2018.
Pengarah JPS Kelantan Datuk Dr Siti Fairus Zakaria berkata dua pos kawalan terbaharu yang diserahkan ialah Pos Kawalan Kaloi dan Pos Kawalan Wakaf Zin di Pasir Mas, yang siap dibina pada 12 Julai lepas.
Beliau berkata dua lagi kemudahan, iaitu Pos Pok Teh Kana dan Pos Pak Atah, diserahkan kepada PGA pada September tahun lepas.
“Pos kawalan ini dibina bagi menyediakan kemudahan operasi yang lebih selesa, selamat dan sistematik kepada anggota PGA dalam melaksanakan tugas mengawal serta memantau kawasan sempadan di Kaloi dan Wakaf Zin.
“Kemudahan ini diharap dapat memperkukuh keupayaan pemantauan dan kawalan di sepanjang Sungai Golok, sekali gus menyokong usaha kerajaan memelihara keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Pos Kawalan Kaloi di sini, hari ini.
Siti Fairus berkata pembinaan kesemua 12 pos kawalan itu melibatkan kos kira-kira RM9 juta, dengan setiap pos menelan belanja sekitar RM800,000.
Beliau berkata pembangunan kemudahan berkenaan turut menyokong pendekatan pengurusan lembangan sungai bersepadu yang merangkumi aspek pengurusan sungai, kawalan banjir dan keselamatan sempadan.
Baki lapan pos kawalan yang belum diserahkan dijangka melengkapkan kemudahan operasi PGA di kawasan sempadan.
Beliau berharap semua kemudahan itu dapat digunakan dan diselenggara dengan baik bagi memastikan manfaatnya berterusan, khususnya kepada anggota yang bertugas di barisan hadapan.
“Semoga pos kawalan ini menjadi aset yang bermanfaat dan menyumbang kepada keselamatan sempadan serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
-- BERNAMA