KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berharap rundingan yang dirancang antara wakil Ukraine, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) pada November akan membawa kemajuan ke arah menamatkan konflik Rusia dengan negaranya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Perkara paling penting ialah kita mencapai kemajuan melalui diplomasi menerusi semua saluran. Dengan izin Tuhan, Ukraine akan berjaya dalam usaha ini," kata Zelensky dalam temu bual dengan televisyen Ukraine.
Beliau turut menyuarakan harapan agar negara-negara Eropah dilibatkan dalam rundingan berkenaan.
Zelensky berkata beliau mahu rundingan itu membuka jalan kepada sidang kemuncak yang melibatkan dirinya, Presiden AS Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin.
"Bagi kami, hasil paling penting ialah kemungkinan mengadakan sidang kemuncak tiga hala," katanya.
Zelensky percaya hanya rundingan secara langsung antara ketiga-tiga presiden itu mampu menyelesaikan isu utama yang setakat ini menghalang perjanjian damai daripada dicapai.
Putin sebelum ini berulang kali menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Zelensky.
Zelensky berkata Ukraine berhasrat membangkitkan beberapa isu utama dalam rundingan pada November, termasuk kemungkinan melaksanakan gencatan senjata yang melibatkan infrastruktur tenaga.
Di bawah perjanjian sedemikian, Rusia dan Ukraine akan menghentikan serangan terhadap kemudahan tenaga masing-masing.
Kedua-dua pihak juga perlu meneroka kemungkinan melaksanakan gencatan senjata di Laut Hitam bagi memulihkan kebebasan pelayaran di rantau itu, kata Zelensky.
Wakil khas AS Steve Witkoff baru-baru ini mencapai persetujuan dengan wakil Ukraine dan Rusia untuk mengadakan rundingan tiga hala berkenaan. Lokasi rundingan itu masih belum didedahkan kepada umum.
-- BERNAMA-dpa