Ringkasan AI
- Komuniti Orang Asli di Pantai Timur diingatkan berpindah ke tempat selamat segera jika berlaku banjir, kepala air atau tanah runtuh semasa Monsun Timur Laut.
- JAKOA mengarahkan Tok Batin, penghulu dan jawatankuasa kampung membuat persediaan, memantau kawasan berisiko serta memastikan keperluan asas dan dokumen penting mencukupi.
- Lebih 1,000 ketua isi rumah Orang Asli di beberapa pos berisiko terputus hubungan akibat laluan darat terjejas, terutama semasa hujan lebat.
GUA MUSANG: Komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman di Pantai Timur diingatkan supaya segera berpindah ke tempat selamat sekiranya berdepan bencana banjir, kepala air atau tanah runtuh ketika Monsun Timur Laut (MTL), tanpa menunggu keadaan menjadi kritikal.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Kelantan dan Terengganu Mohd Faedzyal Mohamed berkata semua Tok Batin, penghulu serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli juga diarahkan melakukan persediaan bagi menghadapi MTL yang dijangka bermula esok hingga Mac tahun depan.
“Arahan itu susulan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Jumaat yang menjangkakan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan antara November ini hingga Januari 2027.
“Kepimpinan kampung perlu mengenal pasti kawasan berisiko bencana, memantau perubahan cuaca dan paras air sungai serta mengesan penduduk yang memerlukan bantuan segera semasa kecemasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Faedzyal berkata komuniti Orang Asli turut diingatkan supaya sentiasa berwaspada selain mengutamakan diri serta keluarga memandangkan keadaan cuaca itu juga berisiko untuk berlakunya banjir, terutama di kawasan berhampiran sungai dan tanah rendah.
Beliau berkata penduduk juga disarankan supaya tidak menggunakan jalan dan jambatan yang rosak, runtuh atau mengalami hakisan, selain tidak menyeberangi sungai berarus deras atau ketika paras air meningkat secara mendadak.
“Pastikan bekalan makanan, air minuman bersih, ubat-ubatan dan keperluan asas juga mencukupi, manakala dokumen penting hendaklah disimpan di tempat selamat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pemindahan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata lebih 1,000 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balar dan Pos Hau berisiko mengalami gangguan perhubungan ketika musim tengkujuh berikutan laluan darat yang mudah terjejas akibat hujan lebat.
Beliau berkata laluan di Bukit Pasir, Bukit Kelabu, Bukit Sabun dan Bukit Piyel perlu diselenggara secara berkala bagi mengurangkan risiko kepada pengguna, selain menasihati penduduk supaya mengelakkan perjalanan ketika hujan lebat dan menghubungi JAKOA jika memerlukan bantuan kecemasan.
-- BERNAMA