KUALA LUMPUR: Penganalisis menjangkakan kesan kewangan yang lebih kecil kepada institusi perbankan susulan pengumuman pelaksanaan skim Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus).

Maybank IB Research berkata, sementara menunggu maklumat lanjut, pihaknya berpendapat Urus secara keseluruhannya memberi impak positif bagi peminjam yang terjejas serta bank-bank.

"Peminjam yang terkesan akan mendapat bantuan kewangan yang lebih besar sementara kesan kewangan kepada bank cenderung lebih minimum daripada yang dianggarkan pada awalnya, memandangkan ia adalah program bantuan yang disasarkan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini pada Isnin.

Tambahnya,  di bawah pengecualian faedah 3 bulan sebelum ini, Maybank IB menganggarkan impak pendapatan secara purata kira-kira 7% kepada bank daripada kemungkinan kerugian pengubahsuaian.

"Bagaimanapun kesan kewangan kepada bank di bawah Urus mungkin lebih kecil, kami fikir, tetapi kami menunggu penjelasan lebih lanjut mengenai program ini," jelasnya.

Di bawah Urus, AKPK akan menyediakan rancangan kewangan peribadi kepada pelanggan yang dibangunkan secara holistik, dengan mengambil kira keadaan kewangan pelanggan dan kemampuan untuk membayar semua obligasi pembiayaan.

Pelan kewangan itu akan merangkumi opsyen pengecualian faedah/keuntungan untuk tempoh tiga bulan, bermula bulan pelanggan menyertai skim itu atau pengecualian faedah/keuntungan tiga bulan bersama dengan pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan secara keseluruhan.

Sepanjang tempoh itu, pelanggan dengan pinjaman/pembiayaan peribadi tidak dijamin dan kad kredit juga boleh mendapat faedah daripada pengurangan kadar faedah/keuntungan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

"Susulan itu, kami mengekalkan penarafan Positif terhadap sektor perbankan dengan mengambilkira risiko kenaikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih kukuh dari yang dijangkakan, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan pinjaman yang lebih kuat dan risiko kredit yang lebih rendah; serta  peningkatan kecairan, yang akan membantu mengekalkan margin faedah," katanya. 

*Berita asal di DagangNews.com