Rakyat dinasihati untuk tidak keliru dengan cadangan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang masing-masing 10 dan enam peratus.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata pengguna tidak seharusnya menjumlahkan kedua-dua nilai cukai itu yang sekali gus menjadikannya 16 peratus.

Ujarnya, kadar 10 peratus adalah khusus untuk barangan, manakala enam peratus adalah untuk perkhidmatan, dan dua kategori berkenaan tidak sepatutnya dicampurkan.

“Saya rasa ada ramai orang yang keliru mengenai SST, di mana cukai jualan adalah 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus.

“Sebenarnya kedua-dua cukai itu mempunyai perbezaannya. Cukai jualan hanya akan dikenakan ke atas produk yang dibuat di kilang sementara cukai perkhidmatan hanya dikenakan untuk perkhidmatan. Jadi, kita tidak boleh mencampurkannya menjadi 16 peratus,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Kian Ming yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata demikian sebagai mengulas pelbagai persepsi dan andaian yang dilontarkan rakyat berhubung perkara itu.

Beliau menjelaskan, cukai jualan dikenakan untuk produk yang dikilang, manakala cukai perkhidmatan dikenakan untuk perkhidmatan sahaja.

"Ia tidak boleh digabungkan sekali menjadi 16 peratus. Oleh kerana cukai jualan ini dikenakan daripada punca pengilangan ia berbeza dengan GST di mana GST dikenakan kepada tempat jualan.

“Apabila tempat jualan itu harga memang lebih tinggi berbanding dengan punca pengilangan, jadi saya rasa itu juga perlu difahami oleh rakyat," katanya.

Beliau menegaskan bahawa SST tidak memberi kesan kepada rakyat kerana hanya dikenakan kepada pengeluar dan pengilang.

“Saya rasa untuk memahami lebih tentang isu SST ini kita akan mengadakan satu taklimat memberitahu ahli Parlimen apakah isu yang sebenarnya melibatkan SST dan juga bagaimana ia berbeza dengan GST,” jelasnya.

Bagaimanapun, Kian Ming berkata langkah mudah ialah melihat jumlah cukai yang dipungut di bawah setiap sistem.

“Kerajaan menjana pendapatan kira-kira RM42 bilion setahun melalui GST. Tetapi di bawah SST, hanya RM21 bilion akan diperolehi saya fikir ini akan memberi manfaat kepada rakyat kerana (perbezaan) dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau menambah bahawa banyak barangan yang sebelum ini dikenakan cukai di bawah sistem GST akan dikecualikan di bawah SST.


BACA: SST ditetapkan pada 6 peratus bagi perkhidmatan, 10 peratus untuk jualan

BACA: Khairy akan usul agar tidak perlu laksana semula SST