Masih terlalu banyak perlu dilakukan sebelum Asia-Pasifik menjadi rantau tanpa wang tunai, walaupun ia menerajui usaha dalam inovasi dan penggunaan saluran baru untuk membayar barangan dan perkhidmatan secara digital.

HSBC Malaysia (HSBC) berkata, wang tunai masih merupakan kaedah pembayaran utama bagi barangan di kebanyakan negara Asia Pasifik, dengan 55 peratus perbelanjaan peribadi dengan tunai dan cek.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Ketua Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan,Tara Latini berkata, penerapan teknologi tanpa tunai di Asia masih menghadapi cabaran bekerja di beberapa negara dan mematuhi peraturan tempatan.

"Walaupun pertumbuhan dompet digital di Asia sangat pesat, hanya segelintir sahaja yang dapat menyediakan perkhidmatan kepada pengguna di lebih daripada satu negara Asia, apatah lagi di peringkat antarabangsa," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, dengan berada di rantau yang paling dinamik di dunia untuk pembayaran digital juga boleh menjadi sumber peluang.

"Syarikat dan penyedia perkhidmatan dengan kedudukan yang kuat di Asia Pasifik berada di kedudukan yang sempurna untuk mengeksport teknologi mereka dan menjadi peneraju global kerana cabaran membangunkan sistem yang boleh berfungsi merentasi sempadan dan mata wang akan ditangani," kata Latini.

HSBC menyatakan bahawa kerajaan dan pihak berkuasa telah mengambil pelbagai langkah untuk mempercepatkan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai.

Di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan, Bank Negara Malaysia menyasar untuk meningkatkan jumlah transaksi e-pembayaran per kapita daripada 44 kepada 200 transaksi dan mengurangkan pembayaran cek daripada 207 juta hingga 100 juta setahun. -- Bernama