ISTANBUL: Seramai 14 orang maut manakala lebih 10 cedera dalam letupan di sebuah kemudahan penyimpanan sementara senjata dan sisa perang berhampiran Sarmada di wilayah Idlib, utara Syria pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi memetik Kementerian Pertahanan.
Kementerian itu memaklumkan semua yang maut merupakan kakitangannya, manakala antara yang cedera termasuk orang awam.
Menurut kenyataan kementerian, letupan berlaku di sebuah kemudahan sementara yang digunakan untuk menyimpan senjata dan sisa perang berhampiran Sarmada.
Unit khas dengan kerjasama pihak berkuasa segera dikerah mengawal lokasi kejadian serta menangani kesan letupan.
Kementerian itu berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca dan keadaan yang membawa kepada letupan berkenaan.
Ia turut memaklumkan bahawa kementerian bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Pengarah Pejabat Media Direktorat Kesihatan Idlib, Subhi Assaf berkata pasukan penyelamat turut menjalankan operasi mencari individu yang hilang di bawah runtuhan.
Penyiar negara Syria, Al-Ikhbariya melaporkan pasukan keselamatan dalam negeri menutup jalan menuju ke lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan orang awam.
Sementara itu, pasukan pertahanan awam dan bomba berusaha memadamkan kebakaran yang tercetus akibat letupan itu.
Sarmada terletak di utara wilayah Idlib dan merupakan antara pusat utama penduduk serta kegiatan komersial di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU