VIRGINIA: Dua polis bantuan yang ditugaskan di sebuah kolej swasta di Amerika Syarikat ditembak mati oleh seorang lelaki bersenjata pada Selasa.

Kejadian berlaku di Kolej Bridgewater, Amerika Syarikat selepas pihak pentadbiran mengeluarkan amaran di akaun Twitter rasmi mengenai lelaki bersenjata yang dikesan di kampus.

Kawasan kolej telah dikepung dan suspek berjaya ditahan pada jam 2 petang waktu tempatan, kata polis.

Kawasan kolej diisytihar kembali selamat pada jam 4.30 petang dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa lain dilaporkan.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Presiden kolej berkenaan, David W Bushman dalam satu kenyataan memberitahu, kedua-dua mangsa merupakan polis bantuan yang dikenal pasti sebagai John Painter dan J J Jefferson.

"Dua petugas di Kolej Bridgewater telah dibunuh dengan kejam.

"Kejadian ini tidak masuk akal dan kesedihan yang kami semua alami tidak dapat digambarkan," katanya.

Terdapat kira-kira 1,500 pelajar sepenuh masa yang sedang hadiri Kolej Bridgewater ketika ini.