Skip to main content

Malaysia

Lelaki acu pisau terhadap pengawal keselamatan Wisma Darul Aman direman tiga hari

Suspek ketika tiba di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Isnin. - Astro AWANI
Suspek ketika tiba di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Isnin. - Astro AWANI
Advertisement

ALOR SETAR: Polis memperoleh perintah reman selama tiga hari terhadap seorang lelaki yang didakwa mengacukan pisau kepada pembantu pengawal keselamatan ketika cuba menceroboh masuk ke kawasan Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Perintah reman terhadap suspek berusia 45 tahun itu bermula hari ini hingga 18 November, selepas dikeluarkan oleh Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah di Mahkamah Majistret Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, reman tersebut diperoleh bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Advertisement

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi semalam, suspek yang menunggang motosikal dipercayai memasuki kawasan kompleks pentadbiran kerajaan negeri itu tanpa berhenti di pos kawalan untuk pemeriksaan keselamatan.

Menurut Syed Basri, suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau kecil berwarna hitam dari poket seluar kanan sebelum mengacukannya ke arah seorang pembantu pengawal keselamatan serta rakannya.

Advertisement

"Suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan beberapa pembantu pengawal keselamatan," katanya dalam satu kenyataan.

Polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter bersama sarung yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement