CANBERRA: Australia menggesa Israel supaya membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza tanpa halangan ketika keadaan penduduk di wilayah Palestin itu semakin meruncing akibat cuaca buruk dan musim sejuk.
Menteri Luar Australia, Penny Wong, berkata situasi kemanusiaan di Gaza bertambah sukar berikutan hujan lebat dan cuaca ekstrem yang melanda kawasan berkenaan.
"Cuaca buruk dan hujan lebat memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sememangnya sudah kritikal di Gaza ketika musim sejuk mula melanda," katanya menerusi hantaran di platform X.
Severe weather and heavy rain are compounding the already dire humanitarian situation in Gaza as winter takes hold. Together with Canada, Italy and the United Kingdom, Australia urges Israel to allow immediate, rapid and unimpeded access of humanitarian aid into Gaza.
— Senator Penny Wong (@SenatorWong) November 16, 2026
Menurut Al Jazeera, kenyataan itu dibuat selepas Australia bersama Kanada, Itali dan Britain mengeluarkan kenyataan bersama yang menyifatkan keadaan di Gaza sebagai "sepenuhnya boleh diubah" sekiranya langkah segera diambil untuk menangani krisis yang sedang berlaku.
Negara-negara terbabit menggesa supaya akses bantuan dipermudah bagi membolehkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas sampai kepada penduduk yang terjejas.
Desakan terbaharu itu hadir ketika kebimbangan antarabangsa terus meningkat terhadap keadaan kemanusiaan di Gaza, dengan banyak pihak memberi amaran bahawa kemerosotan cuaca boleh memburukkan lagi nasib ratusan ribu penduduk yang bergantung kepada bantuan luar, lapor Al Jazeera.