Skip to main content

Dunia

Afrika Selatan kemuka dokumen kepada ICJ berhubung Israel gagal patuhi keputusan

Judges walk to their seats before reading the advisory opinion of the International Court of Justice on what Israel must do to ensure humanitarian aid reaches Palestinians in Gaza and the occupied West Bank, in The Hague, Netherlands, Wednesday, Oct. 22, 2025. (AP Photo/Peter Dejong, file)
Afrika Selatan menegaskan negara itu akan terus menggunakan semua saluran yang ada bagi memastikan Israel mematuhi sepenuhnya perintah ICJ dengan serta-merta. (Foto AP)
Advertisement

CAPE TOWN: Afrika Selatan mengemukakan dokumen komprehensif kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kegagalan Israel mematuhi langkah sementara yang diperintahkan mahkamah dalam kes genosid yang difailkan Pretoria terhadap Israel pada 2023, lapor Agensi Berita Arab Syria (SANA).

Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya memaklumkan dokumen itu dikemukakan di bawah Artikel 11 Resolusi mahkamah berhubung amalan kehakiman dalamannya.

Jabatan itu menegaskan bahawa langkah sementara yang diperintahkan ICJ mengikat di sisi undang-undang dan Israel “tidak mematuhi perintah berkenaan.”

Menurut kenyataan itu, rakyat Palestin yang terselamat di Semenanjung Gaza terus mengalami trauma dan dipaksa hidup dalam keadaan kemanusiaan yang teruk di kawasan yang semakin mengecil.

Kenyataan itu memaklumkan pelanggaran gencatan senjata oleh Israel yang berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025 telah mengorbankan lebih 1,300 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 4,330 yang lain, manakala pasukan penyelamat menemukan ratusan mayat dari bawah runtuhan.

Afrika Selatan menegaskan negara itu akan terus menggunakan semua saluran yang ada bagi memastikan Israel mematuhi sepenuhnya perintah ICJ dengan serta-merta.

Menurut kenyataan itu, langkah sementara berkenaan bertujuan melindungi hak rakyat Palestin di bawah Konvensyen Genosid dan mencegah kemudaratan yang tidak dapat dipulihkan terhadap hak berkenaan sebelum mahkamah mengeluarkan penghakiman muktamad.

Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel di ICJ pada 29 Dis 2023 dengan menuduhnya melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Mahkamah mengeluarkan tiga perintah langkah sementara pada Januari, Mac dan Mei 2024, yang mengarahkan Israel mengambil semua langkah perlu untuk mencegah perbuatan yang dilarang di bawah Konvensyen Genosid.

Menurut angka Kementerian Kesihatan Palestin, serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza telah mengorbankan 73,438 rakyat Palestin dan mencederakan 174,447 yang lain sejak 7 Okt 2023.

-- BERNAMA-SANA

 

 

Must Watch Video

Advertisement