BAITULMUQADDIS: Amnesty International mengecam layanan terhadap seorang doktor Palestin dari Gaza, Dr Hussam Abu Safiya, serta menggesa Israel membebaskannya dengan segera.
Badan hak asasi manusia itu mendakwa Dr Hussam, yang merupakan pengarah Hospital Kamal Adwan dan pakar pediatrik, mengalami penderaan fizikal dan psikologi ketika ditahan pihak berkuasa Israel.
Pengarah Kanan Penyelidikan, Advokasi, Dasar dan Kempen Amnesty International, Erika Guevara Rosas, berkata laporan mengenai keadaan tahanan doktor berkenaan amat membimbangkan.
Kenyataan itu dibuat selepas peguam Dr Hussam mendedahkan bahawa anak guamnya dipindahkan ke kemudahan tahanan bawah tanah Rakevet dan masih ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
"Laporan peguam beliau menggambarkan keadaan mangsa yang terdedah kepada pelbagai bentuk penyeksaan, penderaan fizikal dan psikologi serta kurungan bersendirian yang berpanjangan sehingga mengancam nyawanya.
"Seorang doktor yang enggan meninggalkan pesakitnya ketika konflik di Gaza tidak sepatutnya dipenjarakan dan mesti dibebaskan segera," katanya menerusi kenyataan yang dikongsi di platform media sosial X.
The reports emerging from Dr. Hussam Abu Safiya’s detention are terrifying. His lawyer describes a man subjected to torture, severe abuse, and prolonged solitary confinement at the hands of Israeli authorities, leaving his life at imminent risk.
A doctor who refused to abandon… pic.twitter.com/PlN5AONVWm— Erika Guevara Rosas (@ErikaGuevaraR) July 6, 2026
Beliau menambah komuniti antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri ketika keadaan kesihatan doktor berkenaan dilaporkan semakin merosot.
Menurut Amnesty International, Dr Hussam ditahan sejak Disember 2024 tanpa pertuduhan atau perbicaraan selepas ditahan ketika bertugas di Hospital Kamal Adwan di Gaza.
Bagaimanapun, Perkhidmatan Penjara Israel sebelum ini menafikan dakwaan penderaan dan menegaskan semua tahanan diuruskan mengikut undang-undang serta menerima rawatan perubatan yang sewajarnya.