ANKARA: Angka kematian di Semenanjung Gaza sejak serangan pada 7 Okt lepas kini meningkat kepada 25,900 nyawa, manakala 64,110 lagi cedera, Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza pada Khamis.

Dalam tempoh 21 jam lalu, tentera Israel melakukan 24 pembunuhan beramai-ramai di seluruh Semenanjung Gaza hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 200 orang dan mencederakan 370 lagi, menurut kementerian terbabit.

Kementerian itu mendakwa Israel melakukan "jenayah genosid di tempat perlindungan yang dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan di kawasan al-Mawasi (bandar Khan Younis) yang kononnya didakwa selamat.

Israel menyerang Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lepas hingga mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengumumkan keputusan pada Jumaat bagi tuntutan langkah sementara yang dikemukakan Afrika Selatan berhubung kes dakwaan genosid yang dilakukan Israel.

-- BERNAMA