LUSAKA: Angka korban akibat Siklon Gezani di pantai timur Madagascar meningkat kepada 31 orang pada Rabu ketika pihak berkuasa mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara berikutan kerosakan meluas serta jangkaan kesukaran untuk pulih daripada siklon kedua dalam tempoh dua minggu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kemaskini daripada agensi pengurusan bencana negara pulau itu menunjukkan 29 kematian dilaporkan di bandar Toamasina dan dua lagi di Ambatondrazaka, selain ribut kuat itu turut menyebabkan 36 orang cedera parah dan empat lagi hilang.
Advertisement
Sebanyak 28 pusat pemindahan sementara di 16 daerah dari empat wilayah terjejas teruk, dengan lebih 250,400 rumah rosak dan 6,870 orang kehilangan tempat tinggal.
Wilayah yang terjejas ialah Atsinanana, Analanjirofo dan Alaotra-Mangoro di bahagian timur serta wilayah tengah Analamanga.
Dalam mesyuarat Majlis Menteri Madagascar pada Rabu, darurat seluruh negara dipertimbangkan berikutan kerosakan yang dibawa Gezani, hanya kurang dua minggu selepas Siklon Fytia melanda.
-- BERNAMA-ANADOLU