APPLE kini dilaporkan semakin hampir dalam memeterai perjanjian kerjasama dengan pihak OpenAI untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan ChatGPT pada sistem operasi iPhone akan datang, iaitu iOS 18.

Menurut Bloomberg, selain OpenAI, pihak Apple turut berbincang bersama Google untuk penggunaan Gemini pada iOS 18, tetapi masih belum mencapai tahap perbincangan seperti OpenAI setakat ini.

Buat masa ini, ia masih pada fasa perbincangan – dan terdapat kemungkinan yang mana kedua-dua kerjasama ini tidak berhasil.

Apple sedia menjadualkan acara WWDC pada bulan Jun ini, dan bakal berkongsi lanjut berkenaan dengan sistem operasi iOS 18 – serta memperlihatkan integrasi kecerdasan buatan generatif pada platform mereka.

Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan bagaimana Apple akan mengintegrasikan sokongan kecerdasan buatan pada platform mereka – dan pada masa yang sama memfokuskan kepada privasi melaluinya kelak. -Amanz