ARAB Saudi komited untuk memberikan vaksin COVID-19 percuma kepada semua warganegara dan warga asing yang tinggal di negara itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan kepada Bernama hari ini, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur berkata pelaksanaan vaksinasi melalui aplikasi Sehhaty itu boleh digunakan oleh warga Malaysia yang tinggal di negara itu, termasuk penuntut universiti.

"Pendaftaran melalui aplikasi Sehhaty untuk membuat janji temu vaksinasi bermula dari 15 Disember 2020, kepada semua yang mahu divaksin mulai sekarang sehingga mencapai imuniti kelompok," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan kedutaan susulan penjelasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini mengenai dakwaan bahawa rakyat Malaysia di Arab Saudi dilarang menerima vaksin.

Dalam kenyataan sama, kedutaan juga merakamkan penghargaan kepada Zulkifli atas kenyataannya itu berhubung isu vaksin berdasarkan pengetahuan peribadinya mengenai usaha dan langkah proaktif yang diambil Kerajaan Arab Saudi sejak awal pandemik.

-- BERNAMA