Skip to main content

Dunia

Araghchi jelaskan pencerobohan AS-Israel terhadap Iran kepada wakil Korea Selatan

ARAGCHI, KOREA SELATAN_Telegram Abbas Araghchi
Dalam pertemuan tersebut, Araghchi turut menekankan kepentingan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Tehran dan Seoul. Gambar telegram Abbas Araghchi. - Foto Telegram Abbas Araghchi

TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan kepentingan negara-negara lain mengambil pendirian yang jelas dan tegas dalam mengutuk pencerobohan serta kekejaman terhadap rakyat Iran.

Dalam pertemuan bersama Wakil Khas Menteri Luar Korea Selatan, Chang Byung-ha, semalam, Araghchi dilaporkan menerangkan mengenai jenayah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan rejim Zionis Israel sepanjang 40 hari serangan ketenteraan terhadap Iran.

Advertisement

“Iran sebagai negara pesisir Selat Hormuz telah mengambil langkah-langkah mengikut undang-undang antarabangsa dan undang-undang domestik.

“Untuk melindungi keselamatan serta kepentingan nasionalnya daripada ancaman dan pencerobohan tersebut,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan melalui Telegram Kementerian Luar Iran, hari ini.

Tambahnya, tanggungjawab terhadap sebarang kerosakan yang berlaku adalah terletak pada pihak penceroboh dan bukan ke atas Republik Islam itu.

Dalam pertemuan tersebut, Araghchi turut menekankan kepentingan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Tehran dan Seoul.

Sementara itu, Chang Byung-ha dalam pertemuan berkenaan turut menyampaikan salam daripada Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun kepada Araghchi.

Beliau juga menyatakan harapan agar hubungan diplomasi antara kedua-dua negara terus diperkukuh dan konflik dapat ditamatkan secara muktamad.

Difahamkan, pertemuan tersebut turut membincangkan isu keselamatan 26 kapal dagang Korea Selatan yang terkandas di perairan sekitar Iran akibat sekatan separa yang dikenakan oleh Republik Islam itu.

Perkara tersebut pernah dibangkitkan dalam komunikasi peringkat tinggi antara kedua-dua negara antara Araghchi dan Cho Hyun pada 9 April lalu. 

Must Watch Video