Skip to main content

Dunia

Araghchi sambut baik kemajuan rundingan AS-Iran di Switzerland

Iranian Foreign Minister Abbas Araghchi arrives for a meeting during the two-day BRICS summit in New Delhi, India, Thursday, May 14, 2026. (AP Photo/Manish Swarup)
Araghchi menyifatkan perkembangan diplomatik itu sebagai sebahagian daripada usaha nasional yang lebih luas. - Gambar/ AP
Advertisement

WASHINGTON: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada awal Isnin bahawa rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) di Switzerland dengan pengantaraan Pakistan dan Qatar telah menghasilkan kemajuan penting ke arah menamatkan perang di Lubnan serta mengurangkan tekanan terhadap ekonomi Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Usaha pengantaraan tanpa mengenal penat lelah oleh Pakistan dan Qatar telah menghasilkan kemajuan besar ke arah menamatkan Perang Lubnan. 

"Eksport minyak dan petrokimia dikecualikan daripada sekatan, sekatan laut ditarik balik, sebahagian aset yang dibekukan dibebaskan, dan pelan pembangunan serta pembinaan semula berskala besar dilancarkan untuk Iran," kata Araghchi menerusi platform media sosial X.

Kenyataan itu dibuat sejurus selepas Qatar dan Pakistan mengumumkan kemajuan memberangsangkan dalam usaha diplomatik yang sedang berlangsung antara AS dan Iran susulan berakhirnya pusingan pertama rundingan peringkat tinggi di Sidang Kemuncak Tasik Lucerne di Burgenstock.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua negara, pihak-pihak yang terlibat bersetuju menubuhkan sebuah mekanisme penyelarasan bagi mengelakkan konflik melibatkan pihak-pihak berkenaan dan Lubnan, yang akan dimudah cara oleh pengantara bagi memastikan pematuhan terhadap penamatan operasi ketenteraan di Lubnan selaras dengan memorandum persefahaman yang dicapai.

"Ujian sebenar pertama: mekanisme penyelarasan bagi mengelakkan konflik di Lubnan," kata Araghchi.

Dalam satu kenyataan berasingan, beliau menyifatkan perkembangan diplomatik itu sebagai sebahagian daripada usaha nasional yang lebih luas.

"Dari padang bola sepak ke meja rundingan dan ke medan pertempuran, setiap langkah yang kami ambil sebagai rakyat Iran adalah sebahagian daripada perjuangan yang lebih besar: mempertahankan maruah dan kehormatan rakyat yang kami kasihi," kata beliau.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement