Skip to main content

Dunia

ASEAN kekal platform penting bagi keamanan, kestabilan serantau - Menteri Luar Kemboja

Philippine Foreign Secretary Theresa Lazaro delivers a speech during the opening ceremony of the ASEAN Foreign Ministers' Meeting at the Philippine International Convention Center on Tuesday July 21, 2026 in Pasay city, Philippines. Aaron Favila/Pool via REUTERS
ASEAN telah membantu mengubah Asia Tenggara daripada sebuah rantau yang dicirikan oleh perpecahan dan ketidaktentuan kepada rantau yang semakin ditakrifkan oleh dialog, kerjasama dan kemakmuran bersama. - Gambar fail
Advertisement

PHNOM PENH: Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn pada Jumaat berkata, ASEAN kekal sebagai platform penting bagi keamanan dan kestabilan serantau, berpandukan Piagam ASEAN serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), lapor Xinhua.

"Selama hampir enam dekad, ASEAN telah membantu mengubah Asia Tenggara daripada sebuah rantau yang dicirikan oleh perpecahan dan ketidaktentuan kepada rantau yang semakin ditakrifkan oleh dialog, kerjasama dan kemakmuran bersama," katanya dalam perutusan rasmi sempena ulang tahun ke-59 ASEAN.

Bagaimanapun, beliau berkata, rantau itu kini berdepan landskap global yang semakin tidak menentu, dengan konflik bersenjata yang kembali tercetus, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing serta tekanan yang meningkat terhadap undang-undang antarabangsa dan multilateralisme.

"Dalam persekitaran yang tidak menentu ini, ASEAN tidak boleh bersikap pasif. Kita bukan sekadar perlu bertindak balas terhadap perubahan, malah perlu membantu membentuknya," katanya sambil menegaskan bahawa perpaduan dan kepusatan ASEAN kekal penting dalam mendepani cabaran geopolitik moden.

Sokhonn, yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, Kemboja berbangga atas sumbangannya kepada rantau itu sejak menyertai blok berkenaan pada 1999.

Beliau mengulangi komitmen teguh Kemboja untuk memperkukuh perpaduan, daya tahan dan kerelevanan global ASEAN, di samping menjunjung Piagam ASEAN dan TAC dari segi prinsip serta pelaksanaannya.

Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement