Skip to main content

Malaysia

Ranking bukan tekanan, sebaliknya motivasi Harimau Malaya hadapi Yaman - Cheng Hoe

Cheng Hoe berkata kedudukan dunia menjadi motivasi buat anak-anak buahnya untuk bangkit mencatat keputusan positif selepas tumpas 0-2 kepada China pada Sabtu lepas. - Gambar fail/Bernama
Cheng Hoe berkata kedudukan dunia menjadi motivasi buat anak-anak buahnya untuk bangkit mencatat keputusan positif selepas tumpas 0-2 kepada China pada Sabtu lepas. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia yang lebih baik berbanding Yaman bukan satu tekanan buat Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China esok.

Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berkata kedudukan dunia menjadi motivasi buat anak-anak buahnya untuk bangkit mencatat keputusan positif selepas tumpas 0-2 kepada China pada Sabtu lepas.

“Ia (kedudukan) bukan memberi tekanan kepada kami, (sebaliknya) memberi kami motivasi untuk kekalkan keputusan yang memihak kepada pasukan.

Advertisement

 “Saya rasa, rata-rata pemain juga ingin menebus kekalahan menentang China tempoh hari dan ini adalah peluang terbaik kami untuk mendapatkan semula keyakinan kepada pasukan nanti,” katanya dalam rakaman video dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia kepada media hari ini.

Berdasarkan Ranking Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia kini berada di kedudukan ke-135 dunia manakala Yaman di kedudukan ke-147.

Advertisement

Cheng Hoe juga mengakui moral pasukan yang sedikit terjejas selepas kekalahan kepada China kini semakin pulih setelah menjalani latihan pemulihan dan persiapan, dengan fokus pemain dilihat kembali ke tahap normal menjelang aksi menentang Yaman.

“Kami berharap pasukan akan menutup kalendar 2026 dengan mencatat keputusan terbaik menentang Yaman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Cheng Hoe berkata status pemain pertahanan Dominic Tan masih menjadi tanda tanya selepas pemain itu mengalami kecederaan otot ketika menentang China.

Beliau pada masa sama sedang mempertimbangkan tiga pilihan, iaitu Romel Morales, Paulo Josue dan Muhammad Syafiq Ahmad bagi menggantikan tempat Fergus Tierney yang dilayangkan kad merah pada perlawanan menentang China.

Tierney diarah keluar padang pada penghujung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement