Skip to main content

Dunia

Audi turunkan unjuran susulan isu China, perang Asia Barat

71744092707_Audivehicles.jpg
Audi yang berpangkalan di Ingolstadt dan merupakan anak syarikat Kumpulan Volkswagen kini menjangkakan hasil antara €58 bilion hingga €63 bilion tahun ini, berbanding unjuran sebelum ini antara €63 bilion hingga €68 bilion. - Gambar fail
Advertisement

MUNICH: Pengeluar kereta Jerman, Audi pada Isnin menurunkan unjuran tahunannya dengan menjangkakan hasil dan pulangan lebih rendah berikutan keadaan pasaran yang semakin mencabar di China serta ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Keuntungan selepas cukai pada suku kedua susut kira-kira 21 peratus kepada €563 juta (AS$642 juta).

Audi yang berpangkalan di Ingolstadt dan merupakan anak syarikat Kumpulan Volkswagen kini menjangkakan hasil antara €58 bilion hingga €63 bilion tahun ini, berbanding unjuran sebelum ini antara €63 bilion hingga €68 bilion.

Pengeluar kereta itu turut menurunkan unjuran pulangannya, yang berkemungkinan menyebabkan keuntungan keseluruhan lebih rendah. Angka berkenaan turut merangkumi jenama mewah Lamborghini, Bentley dan Ducati.

Bagaimanapun, penurunan keuntungan Audi secara perbandingan lebih sederhana berbanding penyusutan hampir satu pertiga yang dicatatkan syarikat induknya, Volkswagen, pada suku kedua.

Ketua Pegawai Kewangan, Jurgen Rittersberger berkata, beliau berharap prestasi akan bertambah baik pada separuh kedua tahun ini, didorong antaranya oleh model baharu dan kos yang lebih rendah. Menurut beliau, separuh kedua tahun lazimnya mencatatkan prestasi lebih kukuh.

Antara faktor yang mencetuskan krisis itu ialah keadaan di China, dengan Audi baru-baru ini mengalami kemerosotan ketara dalam jualan, seperti yang turut berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Persaingan harga yang sengit turut menjejaskan prestasi. 

Perniagaan Audi di China, yang direkodkan di bawah pendapatan kewangan berikutan usaha sama tempatannya, hanya menyumbang €73 juta pada separuh pertama tahun ini, hampir empat kali lebih rendah berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Angka yang mengecewakan itu dilaporkan ketika terdapat laporan bahawa syarikat induk Volkswagen sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan puluhan ribu lagi pekerjaan di seluruh kumpulan, dengan kilang Audi di Neckarsulm, Jerman antara empat kilang yang sedang dinilai.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement