BELUM pun reda dengan kontroversi penumpang diheret keluar pesawat, syarikat penerbangan Amerika Syarikat, United Airlines sekali lagi berdepan isu apabila seorang penumpang dilaporkan disengat kala jengking.

Toronto Star melaporkan penumpang bernama Richard Bell yang ketika itu sedang asyik makan, terkejut apabila seekor kala jengking jatuh di atas kepalanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu itu, Bell dan isterinya, Linda, dalam perjalanan dari Houston, Texas ke Alberta, di Amerika Syarikat.

Ketika Bell memegang haiwan berbisa itu untuk mengalihkannya, tangannya telah disengat.

Seorang kru penerbangan kemudiannya mengambil kala jengking itu sebelum dipam keluar menerusi lubang tandas.

Seorang jururawat yang kebetulan berada dalam penerbangan itu telah memberikan rawatan kepada Bell, dan pengurusan United Airlines dilaporkan telah membawa Bell berjumpa doktor sebaik sahaja pesawat mendarat.

Syarikat penerbangan itu juga dilaporkan telah meminta maaf kepada mangsa.

Bell bagaimanapun mengakui dia tidak mempunyai masalah untuk terus menggunakan penerbangan itu di masa depan.

"Saya sudah bertahun-tahun menggunakan perkhidmatan United Airlines. Insiden ini tidak mengubah pandangan saya terhadap mereka," kata Bell.