Skip to main content

Dunia

Bangladesh tunjuk minat sertai Pakatan Pertahanan Mekah

bangladesh_Unplash
Kabir menekankan hubungan Bangladesh yang telah lama terjalin dengan Arab Saudi serta kepentingan Mekah kepada negara itu. - Gambar hiasan
Advertisement

HYDERABAD: Bangladesh menunjukkan minat untuk menyertai Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah yang ditandatangani Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan awal bulan ini.

"Kami telah menyatakan minat terhadap pakatan pertahanan Mekah. Jadi, jika sesuatu berlaku di Asia Barat, seperti pakatan keselamatan dalam kalangan negara Islam, bukan sesuatu yang luar biasa untuk menyertainya. 

"Kita lihat nanti. Ia dilihat secara positif," kata Timbalan Menteri Luar Bangladesh yang baharu dilantik, Humayun Kabir seperti dipetik agensi berita negara Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS).

Kabir berkata demikian kepada pemberita di Kementerian Luar di Dhaka pada Isnin.

Menteri itu yang sebelum ini berkhidmat sebagai penasihat hal ehwal luar kepada Perdana Menteri Tarique Rahman, menekankan hubungan Bangladesh yang telah lama terjalin dengan Arab Saudi serta kepentingan Mekah kepada negara itu.

“Mekah mempunyai tempat istimewa di hati Bangladesh dan rakyatnya,” katanya.

Dasar luar Bangladesh memperoleh dinamisme baharu sejak pentadbiran Sheikh Hasina digulingkan dua tahun lepas.

Tarique, yang menjadi  Perdana Menteri pada Februari tahun ini, memperkenalkan doktrin "Bangladesh First" bagi membangunkan perkongsian dan pakatan dengan negara asing demi kepentingan negara yang mempunyai 175 juta penduduk itu.

Malaysia dan China merupakan negara pertama yang dikunjungi Tarique sebagai Perdana Menteri pada Jun tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement